ALOR SETAR: Mahkamah Majistret mengenakan hukuman penjara 15 hari dan denda RM3,500 ke atas seorang peniaga yang mengaku bersalah melakukan kekerasan bagi menakutkan seorang penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Khamis lepas.
Tertuduh, Mohd. Amirul Azmir Md. Akhir, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.
Majistret turut memerintahkan tertuduh yang masih bujang itu dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mohd. Amirul Azmir didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Badi’uzzaman Aziz, 43, daripada melakukan tugasnya sehingga menyebabkan pergelutan dengan menendang serta mencampakkan bangku kecil kepadanya.
Kesalahan itu dilakukan di Dataran Alor Setar, di sini pada pukul 11.38 malam, 14 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh diwakili peguam Zuriyah Mhd Nordin.
Zuriyah memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan tertuduh perlu menjaga ibu bapa yang sakit serta uzur namun Nasruna Anhar memohon hukuman setimpal memandangkan ia melibatkan kepentingan awam selain kejadian terbabit tular di media sosial.
Mahkamah turut menayang semula video yang tular di media sosial sejak Jumaat lepas sebagai bahan bukti.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 33 dan 42 tahun dipercayai mencetuskan kekecohan dan menghalang tugas penguatkuasa MBAS di dataran tersebut.
Seorang lagi suspek bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah semalam. – UTUSAN










