Gajah liar cedera dirempuh SUV mewah berjaya ditangkap - Utusan Malaysia

Gajah liar cedera dirempuh SUV mewah berjaya ditangkap

KEADAAN gajah liar betina yang cedera selepas dirempuh sebuah SUV mewah dan berjaya ditangkap di Kampung Telaga Papan, Setiu, hari ini. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH AIFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seekor gajah liar betina yang cedera dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Porsche Cayenne di Kampung Kolam di sini, semalam berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, hari ini.

Pengarah Perhilitan, Loo Kean Seong berkata, gajah liar dianggarkan berusia 15 hingga 20 tahun itu ditangkap di kebun kelapa sawit di Kampung Telaga Papan di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi

“Gajah seberat kira-kira dua tan itu didapati mengalami kecederaan luaran akibat kemalangan tersebut, namun bagaimanapun kita masih menunggu pemeriksaan lanjut dijalankan oleh pihak Veterinar.

“Dijangkakan gajah liar itu akan dipindahkan ke habitat semulajadi yang bersesuaian dalam masa terdekat sekiranya tiada sebarang kecederaan parah dihadapi,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Tengku Zaharin Tengku Mohd. Zain berkata, penangkapan gajah berkenaan melegakan pekebun dan penduduk setempat.

“Gajah ini telah berkeliaran kira-kira empat hari di kawasan ini dan kita bimbang lebih banyak kerosakan berlaku sekiranya ia tidak ditangkap,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan seorang pengurus syarikat cemas selepas SUV mewah, Porsche Cayenne dipandunya merempuh seekor gajah tersebut di Kilometer 45, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Kolam di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.15.malam, ketika mangsa, Sharul Azma Che Samaon, 42, dikatakan dalam perjalanan dari Rhu 10 menuju ke Lembah Bidong dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN