Filem tentang kaki lepak kubur - Utusan Malaysia

Filem tentang kaki lepak kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah, Gavin Yap memaklumkan aktiviti melepak di kawasan tanah perkuburan yang diamalkannya sewaktu remaja menjadi inspirasi bagi penghasilan jalan cerita filem Geng Kubur yang bakal ditayangkan April ini.

Katanya, aktiviti tersebut menjadi kebiasaan sejak dia dan keluarganya kembali ke Malaysia selepas menetap lama di United Kingdom.

“Saya tak pasti sama ada kebetulan atau tidak. Selepas pulang ke Malaysia, kediaman kami di  Damansara Utama  terletak hampir dengan tanah perkuburan. Kemudian kami berpindah ke Pulau Pinang dan di sana kami juga tinggal berdekatan kawasan perkuburan.

“Jadi, boleh kata melepak di dalam kawasan tanah perkuburan memang menjadi antara aktiviti saya bersama rakan-rakan ketika zaman persekolahan dulu,” ujarnya yang juga penuis skrip filem berkenaan.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Gavin berkata, ia mengisahkan empat sahabat baik yang menjadikan tanah perkuburan sebagai kawasan lepak mereka.

“Geng Kubur bukan sekadar sebuah filem seram, tetapi juga tentang kehidupan setiap watak.

“Di sebalik kegemaran melepak di kubur, masing-masing ada kisah sendiri yang menghantui kehidupan mereka,” ujarnya.

Geng Kubur menampilkan barisan pelakon-pelakon seperti  Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran selaku teraju utama.

Menurut Gavin, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada September 2022 di beberapa lokasi termasuk Hulu Langat, Bandar Utama dan Kampung Baru.

Gavin dalam pada itu nerharap naskhah terbaharu itu diterima dan menghiburkan penonton.

Ujarnya, dia yakin penonton akan mengenang kembali kehidupan semasa zaman persekolahan semasa menonton filem tersebut.

“Saya percaya, penonton akan melihat ‘diri’ mereka dalam setiap watak yang ditampilkan. Ia bukan sekadar filem seram, tetapi lebih daripada itu,” ujarnya.

Sementara itu, penerbit eksekutif Geng Kubur, Michael Chen menjelaskan kelainan yang ditampilkan menerusi jalan cerita yang ditampilkan telah menarik minat pihaknya untuk menerbitkan filem tersebut.

“Selain elemen seram, tarikan dan kelainan filem ini adalah ia mengangkat tema persahabatan, kekeluargaan dan penerimaan diri.

“Dalam filem ini, setiap watak utama berhadapan isu dalam kehidupan masing-masing. Boleh dikatakan, ada mesej yang bermanfaat kepada penonton,” ujarnya.

Diterbitkan Iron Hill Media Sdn. Bhd., filem Geng Kubur akan menjengah pawagam bermula 25 April 2024.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN