Empat lelaki serang pelajar depan sekolah diberkas

Empat lelaki serang pelajar depan sekolah diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan pelajar di hadapan sebuah sekolah di Kajang dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan itu pada pukul 3.04 petang.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut, dua pelajar sekolah didakwa diserang sekumpulan 10 lelaki dengan menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan batang besi sehingga mencederakan kedua-dua mangsa sebelum semua suspek melarikan diri menaiki dua buah kenderaan.

“Kedua-dua mangsa berusia 16 dan 17 tahun yang cedera di kepala dan badan telah menerima rawatan di Hospital Kajang.

“Kejadian itu turut tular di laman sosial Facebook yang memaparkan aksi pergaduhan selepas tamat sesi persekolahan pagi. Video berdurasi 16 saat itu menerima pelbagai reaksi dan komen pengguna laman sosial,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan diterima, polis menahan empat lelaki berusia 18 hingga 21 tahun di Ampang, semalam.

Jelasnya, pihak polis kini memburu empat lagi individu dipercayai terbabit dalam kes tersebut manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut, boleh tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mu’az Mazlan di talian 017978880. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN