PADANG BESAR: Cuaca panas yang melanda Perlis ketika ini menyaksikan empangan Timah Tasoh yang berfungsi sebagai takungan bekalan air domestik, pengairan pertanian dan tebatan banjir di negeri ini menyusut kepada 27.68 meter dengan baki kapasiti empangan tinggal sekitar 59.24 peratus atau bersamaan 23.61 juta meter padu.
Penurunan itu direkodkan sehingga 20 Mac lalu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) empangan berkenaan, bekalan air bagi tujuan pengairan tanaman akan dihentikan apabila ia mencapai paras 27.10 meter sekali gus bakal memberi kesan kepada 3,075 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini.
Sebagai rekod, empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 20 kilometer persegi itu dapat menampung sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, pengairan telah dihentikan pada 29 Februari lalu kerana penanaman padi bagi musim 2/2023 telah berakhir.
Katanya, berdasarkan kepada unjuran yang dibuat, purata penurunan paras air adalah sebanyak 0.02 meter sehari.
Ujarnya, empangan tersebut dijangka dapat bertahan selama tujuh bulan bagi tujuan penggunaan domestik sebelum mencapai paras takungan mati empangan iaitu pada 25.30 meter.
“Pada masa ini, paras air empangan Timah Tasoh masih lagi berada dalam paras normal walaupun trend semasa menunjukkan berlaku penurunan sekitar 0.02 meter sehari,” katanya.
Cuaca panas di negeri ini juga menyaksikan tanah di kawasan-kawasan penanaman mula kering kontang. Perlis juga merekodkan gelombang haba selama enam hari berturut-turut dengan suhu mencecah 37 sehingga 40 darjah Celcius meskipun ada berlaku sedikit taburan hujan pada petang Sabtu lalu.
Sementara itu, Izizam berkata, bagi memastikan bekalan air domestik tidak terjejas, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis mencadangkan supaya proses catuan air kepada bekalan domestik sebanyak 20 peratus.
Katanya, catuan tersebut perlu dilaksana jika aras air empangan susut sehingga 26.80 meter. –UTUSAN










