PETALING JAYA: Penyanyi nasyid, Mateen Yaaqub mengambil pendekatan tidak melayan sebarang mesej tidak senonoh yang ditujukan kepadanya di media sosial.
Kata Mateen, dia lebih memilih untuk mengabaikan mesej-mesej tersebut bagi mengelakkan fitnah.
“Tak banyak, adalah beberapa. Ada yang menyamar sebagai kenalan lama, mendakwa kami pernah bercinta. Ada juga yang mahu berkenalan, termasuk golongan LGBT.
“Saya ambil pendekatan santuni dengan baik. Tapi yang berlebihan dan tahap merapu, saya abaikan.
“Saya memang tak beri ruang bagi mesej-mesej tak elok di media sosial untuk mengelakkan fitnah. Saya pun tak kenal mereka ini siapa,” katanya.
Mateen ditemui sempena majlis apresiasi media Inteam Records, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Asma’ Abu Bakar ini turut berkongsi amalan membaca Surah 3 Qul yang dilaziminya setiap hari.
Kongsi Mateen, amalan tersebut bermanfaat melindung diri dari ancaman dari jin san syaitan serta manusia berniat jahat.
“Amalkan pagi dan petang untuk melindung diri dari gangguan makhluk halus dan kejahatan manusia,” ujarnya.










