El Nino: Industri pelancongan di Terengganu tidak terjejas - Utusan Malaysia

El Nino: Industri pelancongan di Terengganu tidak terjejas

JUMLAH pelancong yang berkunjung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tidak akan terjejas walaupun cuaca kering dan panas dijangka melanda Terengganu berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan di Terengganu tidak terjejas walaupun dijangka bakal berhadapan cuaca kering dan panas berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lokasi-lokasi pelancongan popular di Terengganu masih dibanjiri pelancong dari seluruh negara.

Menurutnya, ramai yang datang ke Terengganu kerana negeri ini baru sahaja pulih daripada bencana banjir berikutan Monsun Timur Laut pada akhir bulan lalu.

“Alhamdulillah, berdasarkan maklumat penggiat industri pelancongan seperti pengusaha resort dan hotel serta usahawan tempatan, bilangan pelancong masih tidak terjejas walaupun cuaca agak panas dan kering ketika ini.

“Keunikan Terengganu adalah mempunyai pusat pelancongan berasaskan alam semulajadi yang masih belum tercemar seperti sungai, air terjun dan pulau-pulau peranginan.

“Semua lokasi ini adalah pilihan terbaik untuk pelancong datang ke Terengganu kerana dapat juga ‘menyejukkan badan’ tanpa perlu risau dengan cuaca panas akibat El Nino,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan taburan hujan di Terengganu dijangka berkurangan dengan cuacanya menjadi lebih kering dan panas berikutan fenomena El Nino yang berlaku ketika ini.

Keadaan itu dijangka kembali kepada situasi biasa di sekitar April hingga Jun dengan kebarangkalian setinggi 79 peratus.

Mengulas lanjut, Razali berkata, beberapa lokasi perkelahan terkenal seperti Tasik Kenyir, Dataran Batu Putih di Marang, Lata Changkah di Besut, Bukit Besi dan Pasir Raja di Dungun juga diserbu pelancong sepanjang musim panas ketika ini.

“Namun, kita berharap pengusaha resort dan chalet untuk sentiasa mengingatkan pelancong agar minum air secukupnya sepanjang percutian bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya