Edar MDMA: 4 lelaki tempatan ditahan bersama wanita Thailand

Edar MDMA: 4 lelaki tempatan ditahan bersama wanita Thailand

MOHAMED USOF Jan Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas menerusi operasi terancang polis dalam satu sidang akhbar di IPK Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan empat lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand kerana disyaki mengedar dadah jenis MDMA dalam satu serbuan di sebuah apartment di Jelutong, di sini, Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, dalam operasi terancang kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin dan pil eramin 5 selain MDMA yang keseluruhannya bernilai RM326,686 di rumah berkenaan.

“Kesemua suspek lelaki yang ditahan ini berusia antara 23 hingga 35 tahun, manakala suspek wanita warga Thailand yang merupakan rakan kepada suspek-suspek lelaki ini pula berusia 26 tahun.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah MDMA daripada pihak lain sebelum mengedarkannya ke pusat-pusat hiburan di negeri ini.

“Harga dadah ini adalah sekitar RM300 hingga RM2,000, dan harganya bergantung kepada bahan yang terkandung di dalam paket dadah MDMA ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Usuf, hasil pemeriksaan lanjut di apartment yang disewa suspek, polis kemudian merampas 74 paket plastik warna hitam disyaki dadah MDMA seberat 1.62 kilogram (kg) ; 38 paket plastik warna hijau disyaki dadah MDMA seberat 762 gram serta 15 paket plastik warna ungu seberat 600 gram disyaki dadah MDMA.

“Selain itu, polis turut merampas 13 paket plastik warna biru disyaki dadah MDMA seberat 530 gram; 12 paket plastik bertulis Joker disyaki dadah MDMA seberat 530 gram dan sembilan paket plastik disyaki dadah MDMA seberat 370 gram,” katanya yang memberitahu, turut dirampas ialah 11 paket plastik disyaki dadah ketamin seberat 12.72 gram dan 10 aluminium foil disyaki dadah pil eramin 5 seberat 28.37 gram.

Tambah beliau, dadah jenis MDMA ini paling popular di pusat-pusat hiburan dan boleh menyebabkan mereka yang mengambilnya tidak tidur selama 48 jam.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua tangkapan positif dadah dan semakan lanjut mendapati, empat suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Tangkapan wanita warga Thailand pula didapati tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga 23 Mac ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM6,502, dan jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan harta ialah sebanyak RM333,188,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×