Dulu grooming kucing di rumah, kini miliki premis sendiri

Dulu grooming kucing di rumah, kini miliki premis sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPUNCA menjalankan perkhidmatan grooming kucing di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 2020, mendorong Syarafana Nasuha Shahrul Nizam, 30, membuka premis Cat Zouk Malaya di Menara Shaftsbury, Putrajaya. 

Ketika PKP yang membataskan pergerakan, kongsinya, ramai pemilik kucing menghantar haiwan kesayangan di rumahnya disebabkan mereka tidak dapat mengunjungi kedai haiwan. 

“Pada awalnya saya hanya membuat grooming secara suka-suka sahaja di rumah. Tak sangka ramai pula termasuk kawan-kawan yang hantar kucing mereka. 

“Bila semakin banyak dapat permintaan, buat saya tak menang tangan. Jadi, saya buat keputusan untuk membuka kedai supaya dapat menguruskan kucing dengan lebih mudah dan teratur,” kongsinya kepada Seri. 

Premis yang beroperasi sejak 2021 itu turut menyediakan perkhidmatan boarding yang mampu memuatkan 200 kucing pada satu-satu masa. 

Ibu lima anak ini berkata, premisnya mempunyai 30 bilik penginapan dengan pilihan dua jenis bilik iaitu Summer Room dan Spring Room.  

Summer Room ini sesuai untuk seekor kucing berbanding Spring Room yang lebih besar. 

“Selalunya dapat permintaan daripada pelanggan semasa musim cuti. Masa itu, memang ramai yang hantar kucing mereka.

“Sekarang pun saya sudah buka tempahan boarding untuk Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya yang turut dibantu dua staf lain. 

SYARAT MENGINAP

Mengenai syarat mendaftar kucing untuk bermalam, katanya, pemilik perlu memastikan si bulus sudah divaksin, bebas jangkitan kutu, kurap dan selesema. 

Jelasnya, kesemua syarat itu penting bagi mengelakkan ia menjangkiti kucing lain yang menginap di premis berkenaan. 

“Vaksin penting merangsang imunisasi dan antibodi badan bagi menghalang jangkitan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. 

“Kalau tak vaksin, kucing boleh terkena penyakit yang membawa kepada kematian dan ia boleh menjangkiti kucing lain,” katanya. 

Berkongsi cabaran sepanjang menguruskan haiwan, katanya, dia pernah berdepan serangan kucing sehingga menyebabkan tangannya bengkak. 

“Ada seekor kucing pelanggan yang tiba-tiba bertukar ganas. Ikutkan selama ini saya sendiri yang buat grooming, tetapi tidak semena-mena ia menggigit tangan. 

“Mungkin ketika itu, ia berada dalam keadaan terkejut. Insiden itu menyebabkan saya tidak dapat membuka pintu. Namun, kecederaan tidaklah begitu serius,” ujarnya.  

TEKSI KUCING 

Lebih menarik, katanya, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan Pet Taxi yang akan mengambil kucing pelanggan terus dari rumah. 

“Selalunya pelanggan yang sibuk, tidak mempunyai kenderaan atau mempunyai banyak kucing akan menggunakan perkhidmatan ini. 

“Staf kami akan mengambil kucing menggunakan kenderaan yang disediakan. Caj akan dikenakan mengikut lokasi dan jarak rumah pelanggan dari premis ini,” katanya. 

Cat Zouk Malaya beroperasi selama enam hari seminggu menawarkan perkhidmatan boarding bermula RM35 semalam. Harga termasuk makanan, pasir serta tempoh bermain selama sejam.  

Bagi perkhidmatan grooming seperti potong kuku, pembersihan telinga dan muka serta dandanan bulu, harga yang ditawarkan bermula RM40 bagi anak kucing berusia lima bulan ke bawah. 

Cat Zouk Malaya 

*Beroperasi di Menara Shaftsbury, Putrajaya.

*Perkhidmatan boarding dengan pilihan dua jenis bilik

*30 bilik mampu memuatkan 200 kucing pada satu-satu masa

 *Sesi memanjakan kucing dengan pelbagai pakej disediakan

*Pet Taxi yang menyediakan perkhidmatan menjemput kucing dari depan pintu rumah 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN