JASIN: Pemuda UMNO mendesak KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu, susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah seperti yang tular baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, syarikat itu diberi tempoh masa dua hari untuk berbuat demikian atau bakal diboikot oleh pengguna Islam di negara ini.
Beliau berkata, satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Merlimau di sini, malam tadi bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
“Saya tahu KK Super Mart sudah buat sidang media mohon maaf tetapi kita (umat Islam) tidak boleh lepaskan mereka hanya dengan linangan air mata, jadi kali ini kita minta seluruh rakyat Malaysia berikan pengajaran yang tegas.
“Saya minta 881 cawangannya naikkan kain rentang minta maaf terhadap umat Islam seluruh negara dan kalau (dalam masa) dua hari ia tidak dilakukan, saya akan pastikan boikot terhadap KK Super Mart bermula dengan cawangan pertama diboikot adalah di Merlimau ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.
Sebelum ini, media melaporkan, KK Super Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
KK Super Mart dalam kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan menghentikan penjualan stoking tersebut.
Tambah Muhamad Akmal, beliau telah meminta Pemuda UMNO di setiap negeri membuat laporan polis bagi memastikan tindakan dapat diambil pihak berkuasa.
“Kita mahu pihak polis mencari individu bertanggungjawab sama ada KK Super Mart ataupun pembekalnya.
“Insiden ini melibatkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) yang kita telah diingatkan banyak kali untuk tidak bermain dengan sentimen agama, apatah lagi di bulan suci Ramadan ini,” jelasnya. – UTUSAN










