Derma darah selepas solat sunat Tarawih - Utusan Malaysia

Derma darah selepas solat sunat Tarawih

SEBAHAGIAN daripada jemaah yang menderma darah di Masjid Abidin, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ramadan tidak menghalang orang ramai untuk terus menderma darah mereka bagi memastikan bekalan stabil di Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Masjid Abidin di sini malam tadi, mendapati seramai 42 orang hadir menderma darah dan berjaya mengumpul sebanyak 42 beg darah.

Seorang guru, Norhuda Ismail, 55, berkata, ini adalah pengalaman kali keduanya untuk menderma darah pada bulan Ramadan setelah kali pertama melakukannya pada Ramadan tahun lepas.

“Alhamdulillah, selepas selesai solat sunat Tarawih tadi, saya terus mendaftar dan lega apabila dapat menyumbang satu beg darah untuk pesakit yang memerlukan.

“Usaha Unit Transfusi Darah HSNZ ini sangat bagus kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk menderma darah di masjid pada sebelah malam memandangkan umat Islam berpuasa pada sebelah siang.

“Sebagai guru, jadual saya agak padat, jadi apabila terdapat peluang seperti ini, sudah pasti saya akan memanfaatkan sebaiknya kerana satu beg darah dapat menyelamatkan nyawa tiga orang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Program menderma darah itu bermula selepas solat sunat Tarawih sekitar pukul 9.30 malam dan pendaftaran penderma ditutup pada pukul 11.30 malam.

Seorang peniaga, Syed Muhammad Suhaili Syed Mansor, 39, pula berkata, Ramadan kali ini memberinya keinsafan untuk terus menderma darah secara konsisten selepas ini.

“Kebetulan pula, saya baru sahaja berhenti merokok sejak enam bulan lalu dan berazam mahu menjaga kesihatan serta memberi manfaat kepada orang lain melalui darah yang didermakan secara konsisten iaitu sekali setiap tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi HSNZ, Dr. Roslina Remli berkata, setakat ini pihaknya telah berjaya mengumpul sebanyak 314 beg darah sejak 1 Ramadan lalu.

Menurutnya, Unit Transfusi Darah HSNZ menyasarkan dapat mengutip antara 1,000 hingga 1,500 beg darah sepanjang Ramadan ini.

“Antara lokasi yang terlibat dengan program menderma darah ini ialah Masjid Gong Tok Nasek, Masjid Sultan Ismail di Chendering, Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai dan Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN