RAWANG: Kemelut rumah tangga Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red semakin meruncing apabila isteri pertamanya, Sharifah Norshafika Hassim sebelum ini turut memfailkan cerai terhadap usahawan tersebut.
Perkara itu disahkan penguam mewakili Adnan, Muhammad Akmal Azman ketika ditemui wartawan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, dekat sini, pagi tadi.
“Sebutan semula permohonan cerai itu akan dilaksanakan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 18 Mac depan,” katanya.
Dalam masa sama, Adnan yang hari ini hadir bagi prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung proses penceraian dia dan isteri keduanya yang juga penyanyi, Adira Suhaimi menyifatkan tindakan Sharifah yang juga menuntut cerai itu sebagai satu kebetulan.
“Saya yakin mereka tidak berpakat. Ia cuma kebetulan.
“Bayangkan tiba-tiba ada dua isteri tapi boleh hilang dengan sekelip mata. Mungkin dari luaran orang melihat saya bergelak ketawa, tapi dalaman tetap ada lemahnya.
“Kalau dulu, mungkin boleh cari perempuan lain tapi sekarang tidak. Tambah lagi anak pun sudah ramai,” katanya.
Akui Adnan lagi, dia kadangkala lalai dalam menjalankan tugas sebagai suami sehingga membuatkan kedua-dua isteri mengambil keputusan berpisah.
“Saya juga manusia, lalai dan saya asyik minta maaf banyak kali tapi benda tetap berulang.
“Biasalah dalam rumah tangga banyak berlaku perselisihan faham,” kongsinya.
Sementara itu, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, menolak untuk memberi komen berhubung permohonan cerai madunya itu.
“Maaf, tiada komen untuk itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, mahkamah hari ini melanjutkan proses Hakam kepada 24 April depan selepas prosiding JKP hari ini gagal mencapai kesepakatan antara Datuk Red dan Adira.
Adnan dikurniakan 11 cahaya mata hasil perkongsian hidupnya dengan dua isterinya tersebut.










