PETALING JAYA: Sejumlah empangan di Malaysia merekodkan paras berjaga-jaga ekoran cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Keadaan itu diburukkan apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan cuaca panas yang melanda ketika ini akan berlarutan sehingga April dengan kemuncaknya bermula penghujung bulan ini.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, setakat semalam, tiada empangan yang berada di bawah paras kritikal.
Namun katanya, terdapat beberapa empangan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor yang berada pada paras berjaga-jaga.
“Antara empangan tersebut ialah empangan Timah Tasoh di Perlis dengan kadar para merosot sebanyak sebanyak 56.71 peratus, empangan di Kedah seperti Bunded Storage Saga (43.87 peratus), empangan Malut (41.00 peratus) dan empangan Muda (42.10 peratus).
“Empangan Air Itam di Pulau Pinang mencatatkan kadar merosot sebanyak 34.60 peratus dan empangan Sembrong Barat di Johor merekodkan 32.36 peratus,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia, di sini semalam.
Sejak beberapa minggu lalu, kebanyakan kawasan di seluruh negara termasuk di Lembah Klang mencatatkan suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celsius.
Untuk rekod, tahap berjaga-jaga menyaksikan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Tahap gelombang haba pula menyaksikan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Dalam pada itu, Santiago memaklumkan paras air di kebanyakan empangan ketika ini masih berada dalam keadaan terkawal biarpun menunjukkan kemerosotan.
Ditanya mengenai adakah situasi itu boleh menjejaskan kadar bekalan air, Santiago memberitahu, kapasiti air bergantung kepada saiz empangan dan sistem agihan yang dilakukan kepada pembekalan loji rawatan air.
“Kami tidak boleh jangka adakah situasi yang berlaku ketika ini boleh menjejaskan bekalan air untuk masyarakat kerana ia bergantung kepada pelbagai aspek termasuk saiz empangan dan paras air semasa.
“Namun, sebarang kemungkinan boleh berlaku jika negara terus merekodkan cuaca panas tinggi yang berlarutan,” ujarnya. – UTUSAN










