GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa petani dan pengguna untuk mengelak daripada menggunakan baja sintetik kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap biodiversiti tanah.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, walaupun baja sintetik mampu meningkatkan produktiviti tanaman dalam jangka pendek, penggunaan yang berlebihan serta penyalahgunaannya boleh menyebabkan kemerosotan jangka panjang terhadap biodiversiti tanah dan kesihatan ekosistem.
“Baja sintetik boleh mengubah PH tanah. Sesetengah baja terutamanya yang tinggi dengan kandungan nitrogen, boleh menjadikan tanah lebih berasid dari semasa ke semasa.
“Perubahan PH ini boleh menjejaskan komuniti mikrob dalam tanah, termasuk bakteria pengikat nitrogen, yang sering lebih menyukai keadaan neutral kepada sedikit berasid,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, penggunaan baja sintetik yang berlebihan juga boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan nutrien dan ketoksikan dalam tanah, yang boleh membahayakan bukan sahaja bakteria pengikat nitrogen tetapi juga organisma tanah yang lain.
“Ketoksikan ini boleh mengganggu keseimbangan halus komuniti mikrob tanah, yang membawa kepada penurunan kepelbagaian biologi.
“Pergantungan berterusan terhadap baja sintetik ini boleh mewujudkan kitaran pergantungan di mana tumbuhan menjadi kurang berkemampuan untuk menggunakan nitrogen semula jadi daripada tanah dan semakin bergantung kepada input luaran.
“Ini selanjutnya boleh menghalang aktiviti bakteria pengikat nitrogen dan mikrob tanah lain yang bermanfaat,” katanya.
Tambah Mohideen, baja sintetik juga secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada biodiversiti tanah dengan mengubah komuniti tumbuhan.
“Secara keseluruhannya, walaupun baja sintetik boleh meningkatkan produktiviti tanaman dalam jangka pendek, penggunaan secara berlebihan dan penyalahgunaannya boleh menyebabkan kemerosotan jangka panjang biodiversiti tanah dan kesihatan ekosistem,” katanya.
Mohideen berkata, atas dasar inilah CAP menyokong sejak beberapa dekad yang lalu amalan pertanian mampan.
“Pertanian mampan ini menggabungkan perubahan kepada organik, penggiliran tanaman, dan pengurangan input baja yang boleh membantu mengurangkan kesan negatif dan menggalakkan ekosistem tanah yang lebih sihat,”katanya.-UTUSAN











