Cadangan kenaikan harga lantai belian padi diputus 20 Mac ini

Cadangan kenaikan harga lantai belian padi diputus 20 Mac ini

SYED Abu Hussin menyantuni pengamal media pada majlis berbuka puasa di Cyberjaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan dicadangkan untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 berbanding RM1,300 satu tan metrik sekarang.

Itu antara dua cadangan diterima Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) pada sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk pesawah, pemborong dan pengilang padi hari ini.

Cadangan lain ialah tambahan subsidi RM200 yang dimohon oleh pesawah daripada kerajaan bagi menampung kos pengurusan.

Ketua Kluster Makanan NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kenaikan harga lantai belian itu penting bagi melindungi petani tempatan daripada terjejas jika berlaku penurunan
harga padi di pasaran global.

Beliau berkata, dua cadangan itu akan dibawa NACCOL pada mesyuarat pada 20 Mac ini untuk diputuskan.

“Cadangan itu dikemukakan bagi menampung kekurangan margin harga belian bagi setiap tan metrik oleh pengilang kepada pesawah. Ketika ini, harga belian padi ideal bagi setiap tan metrik adalah sekitar RM1,700.

“Pemberian subsidi RM200 penting bagi membolehkan pesawah menikmati keuntungan pada saat pengilang hanya mampu membeli harga padi pada harga RM1,500 per tan metrik,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di sini, hari ini.

Katanya, jika dilaksanakan, pemberian subsidi tambahan hanya membabitkan kos RM360 juta berbanding pemberian subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mampu mencecah berbilion ringgit.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, jika dua cadangan itu diterima kerajaan, maka rakyat boleh menikmati beras putih Malaysia Madani pada harga RM30 bagi pek 10 kilogram berbanding RM40 ketika ini.

“Pemberian subsidi tambahan ini diharap dapat menggalakkan petani supaya berusaha lebih gigih memastikan keselamatan makanan negara sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×