KAMPAR: Bilangan mereka yang berbuka puasa di masjid meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu disebabkan beberapa faktor seperti ingin berjimat, kekangan masa selain mudah untuk menunaikan ibadah wajib dan sunat.
Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Air Kuning di sini, Nizamuddin Mokhtar, 62, berkata, kebiasaannya sekitar 40 orang berbuka puasa di masjid itu pada tahun lalu.
“Namun, pada tahun ini meningkat sekali ganda sebanyak 100 peratus iaitu 80 orang, malah boleh mencecah 100 orang pada hujung minggu dan cuti umum.
“Bagaimanapun, pihak masjid akan memastikan bekalan makanan dan minuman untuk mereka yang berbuka di masjid ini sentiasa mencukupi,” katanya di sini, semalam.
Kebanyakan yang berbuka puasa di masjid itu merupakan ahli kariah berdekatan.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Al Hidayah, Batu Tiga Temoh, Tapah dekat sini, Abdul Aziz Abd. Rahman, 60, berkata, terdapat peningkatan sebanyak 100 peratus mereka yang berbuka puasa di masjid itu.
“Memang luar biasa, biasanya kira-kira 100 orang sahaja pada tahun lepas tetapi tahun ini meningkat 200 orang iaitu penambahan 100 peratus.
“Majoriti keluarga sudah berbelanja besar untuk persekolahan anak selain menyimpan bagi Hari Raya Aidilfitri, jadi mereka berbuka di masjid untuk menjimatkan wang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pekerja swasta, Mohd Shauki Mohd Rizal, 34, berkata, beliau, isteri dan tiga orang anaknya akan berbuka puasa setiap hari di Masjid Jamek Air Kuning untuk menjimatkan belanja.
“Ketiga-tiga anak masih bersekolah, jadi banyak duit telah digunakan untuk membeli barangan persekolahan dan yuran.
“Hari Raya Aidilfitri bakal tiba dan segala kelengkapan pun belum dibeli lagi, jadi dengan berbuka puasa di masjid ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan semasa terutama makanan,” katanya.
Bagi Rosli Hamid, 52, dia berbuka puasa di masjid kerana hanya tinggal berdua bersama isteri di rumah disebabkan dua anaknya telah besar dan bekerja.
“Tinggal berdua, agak bazir jika masak di rumah atau makan di restoran. Jadi, saya dan isteri mengambil kesempatan berbuka puasa di masjid.
“Selain itu, mudah untuk menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih terus tidak perlu balik ke rumah semula,” katanya. –UTUSAN
Caption
ORANG ramai berbuka puasa di sebuah masjid di Kampar. – UTUSAN










