PASIR SALAK: Keenakan buah kabung atau buah kantor sebutan dalam kalangan masyarakat tempatan di sini yang dimakan bersama air gula dan dimasak bersama daun pandan menjadi pilihan ramai di bulan puasa.
Buah kantor dijadikan pemanis mulut berbuka puasa dan sudah menjadi tradisi masyarakat Kampung Gajah, hanya dihasilkan pada bulan puasa.
Buah kabung seperti agar-agar sedap dimakan bersama air gula dan dimasak bersama daun pandan.
Pengusaha buah kabung, Halimah Zainal Abidin, 53, berkata, setiap kali Ramadan, dia yang dibantu suami dan anak-anaknya akan menghasilkan buah kantor atau buah kabung bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya, untuk menghasilkan buah kantor, banyak proses perlu dilakukan sebelum siap untuk dijual.
“Selepas buah kantor diambil dari pokok, buahnya perlu dipisahkan daripada tandan, seterusnya merebus buah, mengeluarkan isi dan dimasak, proses yang memakan masa selama dua jam.
“Selepas itu, buah kantor dikorek isinya, direndam dengan air biasa selama dua, tiga hari sebelum boleh dijual kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dalam sehari mereka dapat menghasilkan antara 15 hingga 25 kilogram buah kantor yang dijual pada harga berbeza mengikut harga runcit dan harga borong dan satu bekas berharga RM5 dan RM4.
Katanya, dia menjual buah kantor di tepi Jalan di Kampung Kepayang di Kampung Gajah.
“Buah ini jika tidak disimpan dalam peti sejuk, ia akan menjadi rosak, warnanya bertukar kekuningan dan kemerahan. Jika sudah bertukar warna, ia tidak boleh dimakan lagi.
“Buah kantor bukan sahaja enak tetapi dikatakan mempunyai khasiat iaitu menyejukan badan. Ia juga sesuai dibuat serbat, halwa dan bubur pengat yang ditambah dengan sagu kecil untuk mendapatkan rasa yang lebih enak.
“Biasanya buah ini akan dicampurkan dengan beberapa bahan lain termasuk biji selasih untuk menambah keenakkan rasanya,” katanya.
Menurutnya, dia akan terus menghasilkan buah kantor semasa Ramadan yang sudah menjadi tradisi masyarakat di sini sejak lama dahulu.
Katanya, namun dia berdepan cabaran untuk mendapatkan buah kabung yang semakin berkurangan.
Katanya, ini kerana pokok kabung yang tumbuh liar dalam hutan semakin sukar didapati kerana banyak hutan dibuka untuk tanaman kelapa sawit.
“Permintaan terhadap buah kantor kali ini agak berkurangan.
“Namun, saya akan terus berusaha menghasilkan buah kantor setiap kali Ramadan selagi permintaan masih ada. Saya mahu meneruskan tradisi penghasilan buah kantor yang terkenal di daerah Kampung Gajah,” katanya. – UTUSAN