BUTTERWORTH : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk memeriksa sebanyak 17,011 inap desa dan bilik sewa menerusi program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK), tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ketika ini, sebanyak 4,027 bilik disewa dan inap desa telah diperiksa.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 52 notis telah dikeluarkan kepada pemilik supaya mematuhi keperluan berhubung keselamatan kebakaran.
“Program ini telah dimulakan sejak Tahun Baharu Cina dan kita tumpukan (pemeriksaan) terhadap inap desa dan bilik disewa.
“Sekarang ini seperti sudah menjadi trend apabila musim cuti, ramai yang suka menginap di inap desa dan bilik-bilik sewa.
“Untuk hotel, kita ada perakuan bomba tetapi inap desa kita tidak periksa. Maka, kita buat pemeriksaan sama dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi inap desa yang berdaftar dan tidak berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 tahun JBPM Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, panggilan kecemasan melibatkan kejadian kebakaran melonjak kepada 280 minggu ini berbanding hanya 240 panggilan pada minggu sebelumnya ekoran cuaca panas yang melanda negara.
Katanya, berdasarkan statistik semasa, panggilan tertinggi dicatatkan di beberapa lokasi antaranya di Johor, Sabah dan Sarawak.
“Oleh itu, kita ambil pendekatan dengan mengaplikasikan kaedah ‘water bombing’ di kawasan yang menghadapi masalah air khususnya di Sabah.
“Bagi kawasan gambut pula, kita fokus kepada kaedah ‘total flooding’ atau pembanjiran kawasan menerusi penggunaan fasiliti yang sedia ada di lokasi,” katanya.-UTUSAN










