Beruang matahari ceroboh kebun kelapa ditangkap - Utusan Malaysia

Beruang matahari ceroboh kebun kelapa ditangkap

BERUANG matahari betina memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Padang Tapong, Besut, semalam. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seekor beruang matahari betina dipercayai menceroboh kebun kelapa di Kampung Padang Tapong di sini berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu, semalam.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima aduan berhubung serangan hidupan liar itu pada 28 Februari lalu.

Katanya, susulan itu siasatan telah dijalankan dan sebuah perangkap dipasang di kawasan berkenaan pada hari yang sama.

“Beruang seberat 60 kilogram telah ditemukan memasuki perangkap yang dipasang oleh pihak Perhilitan semalam selepas lebih seminggu ia diletakkan di kebun kelapa itu.

” Bagaimanapun haiwan tersebut dalam keadaan stabil dan sihat, yang mana beruang itu telah dilepaskan kembali ke habitat semulajadinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pemilik kebun agar sentiasa memastikan keadaan persekitaran kebun bersih agar tidak mengundang kehadiran haiwan liar.

“Selain itu, mereka juga dinasihatkan agar segera memaklumkan kepada pihak Perhilitan sekiranya terdapat kehadiran haiwan liar.

“Diingatkan juga kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan video hidupan liar itu di media sosial kerana dikhuatiri akan menjadi tumpuan pemburu atau pihak tidak bertanggung jawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN