“Kalau boleh tak payahlah tanya lagi mengenai kisah-kisah cinta. Aku pun dah benci nak jawab,”
Demikian seloroh pelakon, Sharnaaz Ahmad ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini apabila cuba diajak untuk berbual santai mengenai seputar kehidupannya sebagai seorang selebriti.
Sudah menjadi lumrah dunia seni hiburan, golongan selebriti seperti Sharnaaz tidak akan pernah sunyi dengan bermacam ragam kontroversi yang datang menerpa walau adakalanya tidak pernah diminta.
Tetapi, dalam bab hubungannya dengan Amelia Christie, nampaknya Sharnaaz sudah tidak lagi mahu membahas panjang sekali gus menggambarkan bahawa perjalanan mereka sebagai pasangan kekasih sebelum ini, sudah terhenti menemui noktahnya.
Barangkali bagi Sharnaaz, sebagai lelaki, dia tidak mahu terlalu menjual kisah peribadi apalagi untuk sebuah kisah yang tidak menjadi.
Malah, dia lebih suka meletakkan fokusnya kepada kerjaya selain tumpuannya terhadap anak tunggal kesayangan, Jebat Jayden yang kini sudah semakin membesar di hadapan mata.
Pada masa yang sama, kata Sharnaaz, dia juga bersyukur kerana bekas isteri, Noor Nabila, sangat memahami andai dia meluahkan rasa mahu berjumpa atau mengambil Jebat tinggal bersamanya buat beberapa hari.
“Walaupun sudah empat tahun kami bercerai, tetapi saya dan Nabila sangat berkompromi apabila tiba bab Jebat. Semua pun tahu saya dengan Jebat sangat akrab. Jadi, saya rasa sangat bersyukur dengan sikap ibu Jebat yang sangat memahami.
“Setakat ini kami tak pernah bergaduh nak berebut Jebat. Macam raya contohnya, kalau nak ambil Jebat balik kampung di Kelantan atau Pulau Pinang, kami akan maklumkan sesama kami.
“Tak ada masalah nak berebut sebab biasanya sudah biasa, raya pertama dengan keluarga bekas isteri, raya kedua Jebat akan balik Penang,”katanya.
Bagaimanapun, Sharnaaz sedar kemungkinan tidak semua pasangan suami isteri yang sudah berpisah itu mampu berkomunikasi dengan baik dan sering ‘bergaduh’ kerana berebut anak.
“Saya rasa, sama sahaja, ada yang akan bertekak kalau libat hal anak-anak. Tetapi bagi saya, kadangkala bergaduh itu bagus juga dalam mencari keserasian.Gaduh itu supaya pihak di sebelah sana tahu apa yang kita perjuangkan.
“Kalau selalu nak turuti saja tak boleh juga. Tetapi, gaduh pun ada tahapnya, bukanlah sampai nak berbunuh maksud saya. Pihak satu lagi pun kena tahu apa isi hati kita dan apabila kita bertekak pasal anak ini, itu juga menunjukkan yang kita sayang dan ambil berat pasal anak.
“Sebab saya tahu, ada juga orang yang dah bercerai, dia tak ambil tahu pasal anak. Itu tak bagus. Kita kena ada sedikit perbincangan walau adakala membawa kepada pertegangan lidah. Sekurang-kurangnya sampai juga mesej yang kita cuba sampaikan dari lubuk hati kita,”katanya.
Saya ini anak manja
Sementara itu, ditanya mengenai penglibatannya dalam naskhah filem pendek terbitan Elrah Exclusive,kongsi Sharnaaz, karya berjudul Mak itu sangat memberi kesan kepadanya terutama apabila naratif mengenai isu keluarga, ibu bapa, dianggap sensitif buat dirinya.
Kata pelakon berusia 39 tahun ini, naskhah itu diyakini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutama dalam sentiasa mengutamakan ibu bapa.
“Memang saya boleh kaitkan dengan diri sebab saya ini sebenarnya seorang anak yang manja dengan emak ayah. Alhamdulillah, saya masih dikurniakan ibu ayah walaupun mereka pun dah tidak muda dah.
“Bila lihat ibu ayah dah semakin meningkat usia ini, adakala timbul rasa sayu di hati. Sementara orang tua kita masih ada ini, selalulah ambil berat dan jangan lupakan mereka. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa kejayaan sekarang datangnya daripada doa ibu ayah kita juga.
“Doa ibu paling laju, doa ayah pun sama juga. Jadi jangan lupa itu,”katanya.
Tambah Sharnaaz, dia juga sentiasa berkomunikasi dengan ibu bapanya sekiranya ada masa terluang dan tidak sibuk dengan kerja seni.
“Dalam seminggu mesti akan hubungi mereka dua tiga kali. Kalau bosan-bosan, saya akan balik Penang. Mereka pun selalu turun Kuala Lumpur sebab kebetulan ayah saya selalu datang buat pemeriksaan kesihatannya di sini,”katanya.
Untuk info, filem pendek berjudul Mak terbitan Elrah Exclusive itu adalah berdasarkan kisah benar pengasasnya, El Azman.
Selain Sharnaaz, turut terlibat dalam naskhah berkenaan adalah Khairy Jamaluddin (KJ), Shahril Hamdan, Beto Kusyairy, Amir Ahnaf, MK K-Clique, Meerqeen, dan Fadhli Masoot yang merupakan wajah duta jenama tersebut buat tahun ini.










