PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kelemahan aspek penguatkuasaan dan pemantauan menyebabkan negara ‘kehilangan’ beras putih tempatan (BPT) di pasaran tempatan.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua pihak lebih tegas dan kerap melakukan pemantauan dan tinjauan bukan sahaja mengenai soal beras, sebaliknya barangan keperluan lain.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) baru-baru ini menggambarkan bahawa kerajaan tegas dalam soal harga dan bekalan beras.
“NACCOL baru-baru ini memutuskan bahawa beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 sekampit sekali gus membolehkan BPT kembali berada di pasaran.
“Aneh juga bila Perdana Menteri dah naik angin sikit (kecewa dengan ketiadaan BPT di pasaran), Padiberas Nasional Bhd (Bernas) kata boleh turun harga RM2 dan pengilang pula kata boleh turun RM1.
“Tahun sudah tiada pula jadi, Alhamdulillah turun RM3 harga beras import dan ia penurunan yang banyak untuk pembeli dan pengguna biasa,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
Katanya, beliau sendiri hairan kenapa BPT tiada di pasaran sebelum ini sedangkan ia direkodkan ada dalam laporan.
Namun, katanya, ketegasan kerajaan dalam mesyuarat NACCOL akhirnya berjaya membongkarkan bahawa negara mempunyai sekitar 150,000 metrik tan BPT di pasaran.
“Bila kita tekankan perkara itu rupanya ada sekitar 150,000 metrik tan beras tempatan untuk diedar tapi tak cukup untuk semua.
“Ketika ini, BPT dijual dan diedar di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) supaya tiada kos penyewaan dan pengangkutan bagi kekalkan harga RM26.
“Tapi kenyataannya ialah harga beras, gula, minyak mentah, kita (Malaysia) ini paling murah di Asia Tenggara dan ini tidak diberi penekanan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menerusi NACCOL bersetuju supaya harga jualan runcit BPI diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa semalam.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan berkata, semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik pula dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
Kerajaan turut bersetuju bahawa semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, sekali gus membolehkan bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini. – UTUSAN