WASHINGTON: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menegaskan negaranya ‘bukan untuk dijual’ ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di tengah ketegangan berkaitan tarif dan isu kedaulatan dengan Washington.
Dalam pertemuan pertama di Pejabat Oval, Trump sekali lagi mengulangi cadangan agar Kanada menjadi negeri ke-51 AS malah, menyifatkannya sebagai satu ‘perkahwinan yang indah’.
Namun, selepas pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menggambarkan perbincangan mereka sebagai satu kemajuan meskipun Carney berkata, beliau secara peribadi meminta Trump agar berhenti mengulangi cadangan tersebut.
“Seperti yang anda tahu dalam urusan hartanah, ada tempat-tempat yang tidak akan pernah dijual.
“Selepas saya bertemu dengan ‘pemilik’ Kanada sepanjang kempen beberapa bulan lalu, saya boleh katakan Kanada bukan untuk dijual. Tidak akan dijual. Tidak akan pernah dijual,” kata Carney kepada Trump, yang juga bekas taikun hartanah, sambil membandingkan Kanada dengan Pejabat Oval dan Istana Buckingham di Britain.
Trump kemudian membalas kenyataan itu dengan tanda tidak setuju.
“Jangan sesekali berkata tidak,” katanya.
Carney, 60, dari Parti Liberal, menang dalam pilihan raya Kanada pada 28 April lalu dengan janji untuk bertegas terhadap Trump sambil memberi amaran hubungan antara jiran Amerika Utara itu tidak akan lagi seperti dahulu.
Trump mencetuskan perang perdagangan besar dengan Kanada melalui pengenaan tarif, sambil terus mengeluarkan kenyataan luar biasa yang menggesa Kanada untuk menyertai AS sebagai sebuah negeri.
Namun selepas pertemuan selama dua jam itu, kedua-dua pemimpin memilih untuk memberi kenyataan yang positif.
Carney memberitahu dalam sidang media, rundingan perdagangan adalah kompleks, tetapi menyifatkan perbincangannya dengan Trump sebagai sangat membina.-AFP










