KUALA LUMPUR: “Kita ada anak anak dan fokuskan energi pada mereka.”
Demikian nasihat yang dititipkan pelakon, Puteri Sarah Liyana kepada sahabat baiknya, Bella Astillah yang ketika ini berdepan kemelut rumah tangga dengan suami, Aliff Aziz.
Puteri Sarah berkata, ketika ini, Bella tidak seharusnya membuang tenaga memikirkan isu yang akhirnya membawa kemudaratan kepada dirinya.
“Jangan fikir benda lain, itu akan menjatuhkan kita. Bila ada anak-anak kita ada segala-gala ya.
“Anak-anak adalah keutamaan kita,” ujarnya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan, Mask Team di sini hari ini.
Terdahulu, Sarah sebagai rakan baik Bella mendedahkan Bella kerap menangis dan mengadu masalah dengannya sehingga dia terkesan dengan isu sensasi tersebut.
Sarah juga menerusi Instagram memaklumkan mengetahui kronologi kemelut rumah tangga antara Bella dan suaminya.
11 Mac lalu, Bella memfailkan permohonan perceraian terhadap suami, Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Tuntutan tersebut dipercayai berpunca daripada dakwaan suaminya ditangkap khalwat dengan aktres, Ruhainies di sebuah kondominium di sini.
Sementara itu, ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, dia akan sentiasa menyokong dan ada untuk sahabat lamanya itu.
“Bella sentiasa senyum dan menyembunyikan masalah dia. Seorang yang happy go lucky cuma dia ada cakap perlukan semangat daripada saya.
“Saya tak tahu apa yang berlaku, saya cuma tahu dia ada masalah dan sentiasa sokong serta beri semangat padanya.
“Sebagai kawan, saya tahu ada sesuatu tetapi saya tak tanya lebih lanjut. Terpulang pada dia nak cerita atau tidak,” ujarnya.