Bekas Ketua Bersatu Selangor sokong Amirudin - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Bersatu Selangor sokong Amirudin

Abdul Rashid
ABDUL RASHID ASARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menjadi ADUN pertama daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytihar sokongan kepemimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Abdul Rashid dalam satu kenyataan berkata, beliau kecewa dengan pimpinan PN negeri itu berdiam diri terhadap tomahan yang dilontar kepada Raja-Raja Melayu yang disifatkan berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.

“Keputusan tersebut dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat. 

“Justeru setelah meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama, saya menyatakan sokongan kepada Amirudin,” katanya, hari ini.

Bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu menambah, keputusan tersebut juga bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini terutama penduduk di kawasan DUN Selat Klang yang akan menerima manfaat dari kerajaan yang stabil serta padu.

“Namun, saya kekal komited sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN Selat Klang,” jelasnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San ketika ditemui pemberita di lobi DUN Selangor memaklumkan beliau belum menerima sebarang pemakluman berhubung tindakan Abdul Rashid setakat pukul 1.50 petang ini. 

“Kedudukan (kerusi dalam DUN Selangor), saya akan bincang balik sebelum membuat keputusan berkaitannya. 

“Kalau ikut perkembangan ini (penyataan sokongan Abdul Rashid kepada Amirudin) maka kedudukan PN di DUN Selangor adalah 21 kerusi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN