Azmin jadi calon jika PRK Tanjong Karang? - Utusan Malaysia

Azmin jadi calon jika PRK Tanjong Karang?

Tanjong Karang
DR. Zulkafperi Hanapi ditemui pemberita dekat pejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan hendak menjadi calon di Tanjong Karang sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di parlimen itu.

Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, hal berkenaan diketahui selepas beliau mendapat maklumat daripada pelbagai pihak berikutan kehadiran bekas Ahli Parlimen Gombak itu hadir dalam Program Jelajah Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Bersatu, baru-baru ini.

Menurutnya, malah ada sesetengah pihak mendakwa akan berlaku PRK di sana apabila beliau sebelum ini membuat keputusan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Insya-Allah perkara itu tidak akan berlaku walaupun beliau hadir di Tanjong Karang kononnya Ketua BPN itu akan gantikan saya di Tanjung Karang sebenarnya tidak ada keperluan.

“Setakat ini, penduduk di sini juga sudah mula menerima dan ada mengatakan saya membuat keputusan yang baik untuk membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Malah, Dr. Zulkafperi yang juga bekas Timbalan Pengerusi PN Selangor itu menegaskan Bersatu Bahagian Tanjong Karang tidak terbubar dan beliau masih lagi kekal sebagai ketuanya sehingga surat rasmi pemecatannya diserahkan.

“Difahamkan ada mesyuarat agung luar biasa kelmarin.

“Bahagian bersatu Tanjong Karang sepanjang saya tahu masih wujud dan tidak dibubarkan dan saya juga masih kekal sebagai ketua walaupun dimaklumkan jawatankuasa berubah dengan alasan saya tidak hadir,” jelasnya.

Terdahulu, beliau menjadi ahli parlimen terakhir menyokong Kerajaan Perpaduan selepas lima khususnya daripada Parti Bersatu bertindak mengisytihar sokongan yang didahului oleh Ahli Parlimen, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dalam pada itu, Dr. Zulkafperi memaklumkan, beliau akan membawa usul untuk merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ini kerana, Wan Saiful didakwa membuat tuduhan terhadapnya dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menjadi ejen pemujuk supaya menyokong kerajaan.

“Tindakan yang dibuat oleh Wan Saiful adalah tidak benar dan berniat jahat. Dia membuat kenyataan itu di dalam Dewan Rakyat selepas saya keluar awal untuk menghadiri program bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Tanjong Karang.

“Saya akan adakan sidang akhbar di Parlimen selepas membentangkan usul terhadap beliau dan saya akan dedahkan niat sebenarnya yang sengaja mengaitkan saya kepada agenda beliau sendiri. Itu amat tak wajar dan tak bertanggungjawab,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN