Arahan kantin sekolah beroperasi sepanjang Ramadan keterlaluan - Pas - Utusan Malaysia

Arahan kantin sekolah beroperasi sepanjang Ramadan keterlaluan – Pas

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas mendapati arahan Kementerian Pendidikan agar kantin sekolah dibuka ketika bulan Ramadan dilihat agak keterlaluan dan mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, perkara itu telah menjadi uruf setempat dan kebiasaan masyarakat untuk menghormati umat Islam yang sedang berpuasa termasuk murid yang masih berlatih untuk berpuasa.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilihat gopoh dalam mengeluarkan arahan itu yang seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan.

“Perkara ini boleh berlaku secara harmoni tanpa perlu ada arahan supaya kantin dibuka ketika para pelajar berada dalam bulan Ramadan.

“Bukan bermaksud kita menghalang pelajar bukan Islam untuk makan di siang hari, cuma ia juga satu bentuk didikan supaya mereka menghormati bulan Ramadan sejak di alam persekolahan.

“Mereka boleh hadir ke sekolah dengan bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan. Itu sudah memadai tanpa perlu arahan agar kantin dibuka yang dilihat agak keterlaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Fadhlina berkata, pengusaha kantin sekolah perlu meneruskan operasi sepanjang bulan Ramadan walaupun sekolah berkenaan mempunyai kurang daripada 10 peratus pelajar bukan Islam.

Semalam, beliau mengulangi keputusan mengenai perkara itu bagi memudahkan murid dan pelajar bukan beragama Islam mendapatkan makanan ketika waktu rehat.

Tambah Ahmad, semua pihak seharusnya memulakan langkah dengan memberikan pendidikan terhadap kepentingan berpuasa khusus kepada pelajar yang beragama Islam.

“Golongan pelajar bukan Islam juga akan turut menghayati kepentingan berpuasa walaupun tidak ada paksaan terhadap mereka,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×