Aprena Menrose reda rawatan IVF tidak berhasil, kembali fokus lakonan - Utusan Malaysia

Aprena Menrose reda rawatan IVF tidak berhasil, kembali fokus lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aprena Menrose, reda apabila usahanya untuk mendapatkan zuriat melalui rawatan Persenyawaan In Vitro (IVF) tidak berhasil.

Menurut Aprena, sepanjang proses rawatan dijalankan dua tahun lalu, dia telah melepaskan beberapa tawaran berlakon sebagai watak utama.

“Ketika dalam proses memasukkan embrio, saya memang korbankan semua tawaran berlakon untuk beri fokus kepada rawatan. Saya memang ikut betul-betul nasihat doktor. Dua minggu saya duduk rumah sahaja.

“Sebab itu bila diberitahu rawatan itu tidak berjaya, saya dan suami tidur seharian, tidak bercakap kerana terlalu kecewa. Keesokkan hari barulah kamu berdua okay kembali,” katanya.

Aprena ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Ramadan Raya TV3 di Glam Hall, Damansara Perdana, semalam.

Enggan terlalu berharap, pelakon Tiada Arah Jodoh Itu menyerahkan urusan zuriat kepada ketentuan Illahi.

“Saya kini lebih kepada reda dan pasrah. Tiada zuriat pun tak mengapa tapi saya tidak mengalah. Saya sudah sampai di satu fasa di mana saya terima segala keputusan.

“Mungkin Allah nak bagi kami zuriat di akhirat sana,” katanya.

Kata anak kepada penyanyi, Iwan Dangdut itu lagi, dia bersyukur kerana rakan terdekat tidak bertanya tenyang zuriat kepadanya.

“Selalunya orang tak berzakap soal zuriat dengan saya sebab mereka faham dan hormat keadaan saya. Saya bersyukur sangat.

“Cuma contoh terdekat, bila Uqasha umum bersalin. Ketika itu, saya yang tahu dahulu selepas balik bercuti di Bangkok. Saya terus menangis dan tumpang gembira.

“Dia pun macam rasa serba salah kerana tahu saya menantikan zuriat sudah lama. Kami menangis sama-sama,” kongsinya lagi.

Terkini, Aprena ingin kembali aktif dalam dunia lakonan dan bakal hadir dengan drama terbaru Hello, Saya Anak Uncle yang bakal bersiaran di TV3, bermula 17 Mac ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN