HULU TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menubuhkan lebih 30 Kampung Siaga 221 di seluruh negara sejak diperkenalkan kira-kira tiga tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, penubuhan Kampung Siaga 221 itu bertujuan melatih komuniti setempat kesiapsiagaan hadapi kecemasan termasuk bencana banjir.
Menurutnya, masyarakat mampu bertindak dengan cepat dan tepat sewaktu berdepan situasi cemas dalam usaha selamatkan mangsa sekaligus mampu cegah sesuatu bencana menjadi lebih teruk.
“Komuniti yang sertai Kampung Siaga 221 ini dilatih beri maklum balas lebih awal, kemahiran serta tindakan awal perlu dilakukan sekiranya insiden bencana tanpa menunggu ketibaan agensi atau pasukan keselamatan.
“Bagi Terengganu, Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu merupakam lokaliti ketiga Kampung Siaga 221 yang turut melibatkan gabungan komuniti dari Kampung Paloh Nyior serta Kampung Pelam.
Dua lokaliti sebelum ini ialah di Kampung Belaoh, Hulu Besut dan Kampung Pasir Raja, Dungun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kampung Siaga 211: Komuniti Berdaya Tahan Bencana APM Kampung Bukit Tadok, dekat sini, hari ini.
Majlis pelancaran tersebit disempunakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh.
Tambah beliau, pihaknya juga telah perkenalkan Program Komuniti Siaga 221 pada Januari bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan latihan kecemasan kepada penduduk di kawasan bandar yang berisiko hadapi bencana serta terdedah ancaman keselamatan setempat.
Sementara itu, mengulas mengenai keanggotaan APM, beliau berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan pengambilan sukarelawan bagi mencapai sasaran 150,000 sukarelawan menjelang tahun 2025. – UTUSAN










