PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran untuk menghentikan gesaan Pemuda UMNO yang mahu kesemua rangkaian pasar raya KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Mart) diboikot.
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata, Anwar mesti menyuarakan pandangan dalam hal berkenaan kerana isu boikot bukan perkara kecil.
“Tidak mengapa untuk marah apabila Islam dihina, tetapi seseorang itu harus spesifik untuk mengarahkan kemarahan kepada sumber yang betul.
“Adakah boikot itu satu tindakan yang rasional? Adakah ia berkadar dengan kesalahan? Adakah siasatan telah selesai untuk mencari pesalah?” soalnya dalam satu hantaran di X.
Sebelum ini, media melaporkan, Pemuda UMNO mendesak KK Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawangan kedai serbaneka itu.
Ia susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah yang didakwa dijumpai di salah sebuah cawangannya dekat sini, seperti yang tular baru-baru ini.
Pada masa sama, Zaid mempersoalkan tindakan boikot itu yang disifatkan memusnahkan ekonomi ketika masa sukar
“PM perlu memberitahu UMNO bahawa menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah bermakna seseorang itu perlu membuat keputusan mengenai sebarang krisis bersama-sama dan berbuat demikian dengan kerosakan yang minimum,” katanya. –UTUSAN









