PETALING JAYA: “Maaf lambat sikit, sebab ada kekangan kerja.”
Demikian kata pelawak, Ali Putih menerusi siaran langsung di media sosialnya yang memaklumkan sudah melangsaikan hutang saman RM72,490 terhadap bekas kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali.
Menerusi hantaran tersebut, Ali yang merupakan adik kepada Allahyarham Abam itu memberitahu dia menyelesaikan hutang saman tersebut menerusi mesin deposit tunai sebanyak 27 kali.
“Hari ini (semalam), saya sudah selesaikan apa yang tertunggak. Alhamdulillah, saya baru sahaja balik daripada bank. Baru ada kelapangan.
“Tetapi bank pula tutup jadi saya terpaksa guna mesin deposit tunai,” jelas pelawak itu yang turut menunjukkan 27 keping resit sebagai bukti pembayaran.
Sebelum ini, Ali terus mencipta kontroversi selepas hadir ke rumah Hidayah bagi menyerahkan hutang sebanyak RM75,000 secara tunai.
Namun, Hidayah enggan menerima pembayaran secara tunai dan meminta agar pelawak itu menyerahkan wang tersebut kepada peguam atau secara deposit tunai kepadanya.
Dalam pada itu, Ali menjelaskan, dia sudah menolak hutang Hidayah terhadapnya sebanyak RM3,000 daripada jumlah asal hutang saman tersebut.
Terdahulu, Ali kalah dalam kes saman fitnah terhadap Hidayah seperti mana ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.
“Balu arwah (Hidayah) juga ada berhutang dengan saya berjumlah RM3,000. Peguam kata kontrakan sahaja dengan jumlah wang ini.
“Jadi saya bayar RM72,490. Selepas ini, saya harap tiada lagi sebarang dakwaan atau berpanjangan isu ini,” katanya.
“Saya ambil ini sebagai satu pengajaran buat diri sendiri dan semua. Selepas ini, fokus kacau sambal,” katanya.










