Aidilfitri: 15,120 tiket ETS, tren ke Pantai Timur ditambah

Aidilfitri: 15,120 tiket ETS, tren ke Pantai Timur ditambah

ANTHONY Loke ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berita baik buat perantau yang terlepas tiket untuk pulang beraya, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan ke utara bermula dari 4 hingga 15 April ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tiket ETS tambahan itu akan mula dijual pukul 5 petang ini dengan tawaran 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah 15,120 tiket termasuk tren ekspres.

Beliau berkata, tren tambahan itu membabitkan dua laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral;
dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral – Butterworth – KL Sentral dan dua perkhidmatan ekspress laluan untuk KL Sentral – Ipoh – KL Sentral.

“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah sebanyak 135,000 tiket,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagi penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur pula, Loke berkata, KTMB turut menyediakan dua tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya yang menawarkan 952 tiket.

Katanya, tren khas ELA ini akan berhenti di 17 buah stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Jelasnya lagi, tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual pada hari ini bermula pukul 5 petang menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan juga di kiosk-kiosk tiket yang tersedia di semua stesen utama KTMB.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Aidilfitri iaitu bermula 6 hingga 9 April ini.

Loke berkata, lanjutan tempoh subsidi itu dibuat berdasarkan sambutan orang ramai dan individu yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya.

“Sepanjang empat hari tersebut pengguna tidak akan membayar harga tiket penerbangan melebihi harga maksimum RM599. Sebarang kos melebihi harga maksimum tersebut akan ditanggung kerajaan.

“Bagaimanapun, penumpang boleh mendapatkan harga yang lebih murah sekiranya merancang perjalanan lebih awal,” katanya.

Pada 15 Disember lalu, Kementerian Pengangkutan melancarkan inisiatif bantuan subsidi sempena musim perayaan untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan.

Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Madani akan menanggung kos tiket penerbangan sehala yang melebihi RM599 untuk 3 hari dan penambahbaikan ini dijangka memberi implikasi kewangan tambahan sehingga RM1.8 juta.

Loke berkata, MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) memudah cara sebanyak 342 penerbangan domestik tambahan di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April ini.

Katanya, strategi ini menunjukkan kesan positif di mana lebih banyak tiket penerbangan terutamanya bagi laluan dari Kuala Lumpur ke destinasi-destinasi utama di Sabah dan Sarawak dijual pada harga yang lebih murah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya