BUTTERWORTH : Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan iaitu menipu, pecah amanah dan menyalahgunakan harta syarikat yang membabitkan nilai hampir RM13.4 juta, lima tahun lalu.
Chan Eng Leong, 50, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Eng Leong didakwa telah menipu pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd., Goh Kim Heong dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Eksais Diraja.
Oleh itu, tertuduh dengan curangnya telah mendorong Kim Heong menyerahkan wang tunai hampir RM11 juta yang mana Kim Heong tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan berbuat demikian.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh sebanyak sebelas kali antara 11 April hingga 21 November 2019 di Taman Berjaya Indah dan Jalan Bukit Teh, Machang Bubok, Bukit Mertajam.
Untuk kesalahan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam pula, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah dan menyalahguna wang syarikat yang sama iaitu mengikut Seksyen 409 dan 403 Kanun Keseksaan yang berjumlah RM2.4 juta antara 1 hingga 3 Oktober 2019 di Jalan Bukit Teh, Machang Bubuk di Bukit Mertajam.
Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda jika sabit kesalahan manakala Seksyen 403 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan hingga lima tahun, sebat dan denda, sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muna Mohamed Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam, R.S.N Rayer.
Terdahulu, ketika prosiding, Rayer merayu mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan dikurangkan kerana tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik dan hadir ke mahkamah apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penyiasat.
Hakim Noor Aini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin secara kumulatif berjumlah RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Mei depan.-UTUSAN










