KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berupa 25,000 kampit beras 10 kilogram (kg) kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Jumlah itu bersamaan 250,000kg atau 250 tan metrik.
Pengagihan itu dikurniakan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf melalui masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.
Istana Negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) menetapkan sebanyak 10 buah masjid dipilih di sekitar Kuala Lumpur bagi urusan pengagihan beras kepada asnaf di sekitar kariah.
Setiap masjid menerima stok beras sebanyak 2,500 kampit.
Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, kurniaan beras itu adalah cetusan hati sanubari Seri Paduka.
“Seri Paduka mengeluarkan duit daripada poket sendiri. Seri Paduka juga bertitah untuk memastikan mereka yang betul-betul layak mendapat beras.
“Seri Paduka begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mereka yang kurang berkemampuan khususnya di sekitar Kuala Lumpur. Kita berhadapan dengan dugaan ekonomi yang meleset.
“Atas faktor itu Seri Paduka menzahirkan keprihatinannya dengan berkenan mengurniakan sekampit beras kepada setiap asnaf,” katanya ketika ditemui di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, di sini hari ini– UTUSAN










