PETALING JAYA: Seramai tujuh sukarelawan rakyat Palestin maut dan puluhan lagi parah selepas tentera Israel membedil pusat pengagihan bantuan kemanusiaan dari Malaysia menerusi Ops Ihsan di kem pelarian Al-Nuseirat di Bandar Gaza hari ini.
Dalam kejadian pengeboman jam 11 pagi waktu Malaysia itu, beberapa sukarelawan Ops Ihsan warganegara Palestin sedang memulakan tugas pengagihan bantuan kemanusiaan membabitkan 3,000 kotak bantuan untuk disalurkan kepada pelarian di kem tersebut.
Bagaimanapun, kerja-kerja pengagihan tersebut bertukar menjadi misi menyelamat apabila rejim Zionis mensasarkan pusat pengagihan tersebut sebagai sasaran dalam operasi kententeraan mereka hari ini.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, serangan terhadap pusat pengagihan tersebut membuktikan bahawa rejim Zionis sedang cuba menghentikan pemgagihan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Gaza.
Menurutnya, terdapat beberapa lagi serangan seumpamanya berlaku di beberapa kawasan pusat pengagihan bantuan lain namun ia tidak membabitkan bantuan Malaysia dalam Ops Ihsan.
“Serangan tersebut memang disasarkan untuk menghentikan bantuan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza sekali gus menyebabkan krisis kemanusiaan dan kebuluran terus meruncing di wilayah tersebut.
“Sekretariat Induk Ops Ihsan dengan tegas mengutuk dan mengecam sekerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini di saat rakyat Palestin sedang berusaha mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jismi berkata, setakat ini sebanyak 33,000 kotak bantuan seberat 400 tan sudah pun disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui Lintasan Rafah dan kebanyakannya sudah pun diagihkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya kini dalam dilema untuk meneruskan atau menghentikan sementara waktu bantuan kepada Gaza selepas insiden menyayat hati tersebut menimpa sukarelawannya.
“Kalau kita menghentikan bantuan, mereka di sana akan kebuluran kerana makanan sangat susah untuk didapati, tetapi jika ia diteruskan mungkin akan menjadi ‘magnet’ untuk Israel lancarkan serangan seterusnya.
“Jadi kita terpaksa cari jalan lain bagaimana untuk salurkan bantuan tersebut dengan selamat tanpa sebarang insiden seperti yang berlaku ini,” katanya. –UTUSAN










