KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan 5,094 operasi khidmat khas menangkap ular di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, faktor cuaca lembab sepanjang musim tengkujuh lalu dan cuaca panas menyebabkan reptilia berbisa itu keluar mencari perlindungan baharu.
Menurutnya, JBPM mendapati kebanyakan ular yang ditangkap ialah spesies tedung, senduk dan sawa yang dilaporkan memasuki kediaman, kebun atau sangkar binatang milik penduduk.
“Sepanjang tahun ini sahaja lebih 5,000 operasi telah dibuat JBPM membabitkan perkhidmatan menangkap ular iaitu 2,797 pada Januari lalu dan 2,297 sepanjang Februari.
“Faktor cuaca memainkan peranan penting dalam kes ini terutamanya dalam keadaan panas ketika ini boleh menyebabkan reptilia ini muncul di tempat yang tidak dijangka untuk mencari perlindungan.
“Orang ramai yang terserempak dengan ular dinasihatkan tidak membuat tindakan sendiri sebaliknya menghubungi pihak berkuasa untuk menangani ancaman itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menurut Nor Hisham, Malaysia kini mengalami musim kering dan dijangka kurang menerima taburan hujan atau peralihan Monsun Barat Daya bermula Mei sehingga September.
Sehubungan itu beliau berkata, cuaca panas boleh menyebabkan berlaku kebakaran di kawasan berisiko antaranya kawasan pertanian, hutan gambut serta tapak pelupusan sampah.
“JBPM telah mengenalpasti lebih 405 lokasi berisiko yang akan diberi perhatian bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah haram.
“Terdapat segelintir masyarakat mengambil mudah dengan dikesan masih melakukan pembakaran terbuka sebagai langkah mudah membuka tapak pertanian di kawasan beris.
“JBPM menasihatkan orang ramai agar tidak memulakan kebakaran yang menyebabkan api merebak dengan cepat kerana kita terpaksa mengerah jumlah aset dan anggota yang tinggi untuk kes itu,” katanya. – UTUSAN










