PETALING JAYA: Sebanyak 40 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam bakal beralih ke skim simpanan syariah berikutan peningkatan dividen tinggi dalam simpanan syariah seperti diumumkan kelmarin.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi cemerlang peningkatan dividen berkenaan memberi peluang kepada pencarum untuk lebih yakin mencarum dalam KWSP terutamanya bagi mereka membuat caruman persendirian.
Katanya, dianggarkan sebanyak 40 peratus daripada jumlah lebih 70 peratus pencarum KWSP beragama Islam bakal beralih ke simpanan syariah.
“Dalam masa yang sama, kita akan melihat sekiranya prestasi pencarum dilihat semakin baik atau lebih jumlah pencarum dilihat dalam simpanan syariah, ia juga akan mempengaruhi kepada peningkatan kepada dividen untuk simpanan itu pada tahun ini.
“Malah dividen simpanan syariah pada tahun ini juga juga diyakini akan meningkat dengan lebih banyak susulan prestasi yang baik ditunjukkan dalam peningkatan pada tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, KWSP kekalkan prestasi kukuh dengan dividen 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan syariah.
Jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM57.81 bilion sekali gus merupakan jumlah pengagihan paling tinggi dengan pengagihan kumulatif lima tahun pada RM259 bilion memanfaatkan lebih 16 juta ahli.
Menurut Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, dividen sebenar bagi simpanan konvensional (2.89 peratus) dan simpanan syariah (2.51 peratus) pada asas tiga tahun iaitu 2021 hingga 2023 telah melebihi sasaran strategik KWSP. – UTUSAN










