KOTA KINABALU: Sebanyak 31 notis kompaun telah dikeluarkan kepada peniaga di bazar Ramadan sejak hari pertama Ramadan sehingga semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, daripada 240 gerai di bazar Ramadan yang diperiksa di seluruh Sabah, 31 notis kesalahan dan kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah kompaun sebanyak RM3,700.
“Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tidak memakai pakaian pengendali makanan, apron, kasut dan penutup kepala dengan 12 notis manakala, tujuh notis bagi kesalahan pekerja tiada sijil latihan pengendali makanan.
“Empat kesalahan lagi membabitkan pengusaha mengupah pekerja yang tiada latihan pengendali makanan dan suntikan anti-tifoid; tiga notis bagi pengendali tidak mengekalkan kebersihan.
“Ini termasuklah antaranya berkuku panjang; tiga notis lagi untuk pengendali memakai perhiasan diri seperti jam, cincin dan aksesori lain serta dua notis lagi adalah pengendali tiada suntikan vaksin anti Tifoid,” katanya selepas pemeriksaan di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, hari ini.
Berdasarkan jumlah notis yang dilakukan, 18 notis dikeluarkan di Tawau dan tujuh notis dikeluarkan di Keningau.
Beliau berkata, pengeluaran 31 notis kesalahan itu agak tinggi untuk tempoh tiga hari pertama Ramadan.
Justeru, beliau menasihatkan peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan dalam menyediakan makanan dan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Makanan 1983.
Menurut Asits, terdapat 105 lokasi bazar Ramadan seluruh Sabah dengan 5,674 gerai.
Mengulas tentang penggunaan pewarna makanan, beliau berkata, sekiranya ada aduan daripada pengguna, pihaknya akan mengambil sampel untuk memeriksa kandungan pewarna yang digunakan oleh peniaga di bazar Ramadan.
Susulan musim kemarau pula, Asits menasihatkan murid dan pelajar sekolah agar mengurangkan aktiviti di luar rumah selepas tamat sesi persekolahan. –UTUSAN










