ALOR SETAR: Semua 24 kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang berdepan masalah gaji tidak dibayar menegaskan mereka tidak pernah terfikir untuk mengaitkan isu mereka dengan politik.
Wakil kumpulan pekerja itu, Mohamad Redzwan Ramlee berkata, mereka hanya mahu menuntut hak masing-masing kerana masalah itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan tetapi keharmonian rumah tangga.
“Ada antara kami terpaksa membuat kerja-kerja sambilan seperti bekerja di kedai makan selain bergantung kepada pendapatan isteri. Malah lebih membimbangkan ada yang hampir bercerai disebabkan masalah ini.
“Secara keseluruhannya gaji kami tertunggak antara enam hingga sembilan bulan dan ini paling lama kerana sebelum-sebelum ini pun bukan tiada tunggakan tetapi hanya untuk sebulan.
“Ramai yang kata perkara ini fitnah untuk menjatuhkan Menteri Besar tetapi dakwaan itu tak betul. Ini perkara nyata dan kami pun tak mahu perkara ini dijadikan isu politik kerana masing-masing hanya mahukan gaji,” katanya selepas hadir ke Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) Kedah di sini, hari ini.
Sebelum ini tular surat dalam media sosial yang didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkaitan aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian KAHB.
Susulan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kemudian dilaporkan berkata, JKTSM sudah memberi notis kepada Kedah Agro untuk menyelesaikan tunggakan gaji sejak Januari lalu sebelum pihak terbabit berjanji akan memohon bantuan kerajaan negeri.
Terbaharu, Steven berkata, KAHB akan membayar kira-kira RM560,000 gaji semasa dan tunggakan sebelum Hari Raya Aidilfitri setelah ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KAHB pada Ahad lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad Redzwan berkata, langkah untuk hadir ke JKTSM hari ini merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk menuntut hak mereka.
“Kami pernah ke Kediaman Rasmi Menteri Besar untuk menghantar petisyen selain bertemu wakil rakyat tertentu dan pihak MBI. Ada juga rakan-rakan bertemu dengan Setiausaha Politik Menteri Besar tetapi hingga kini tiada kata putus bila gaji kami akan dibayar,” luahnya.
Menurut beliau, dikhabarnya Ahli Lembaga Pengarah bermesyuarat kelmarin sebelum mereka menerima mesej menyatakan gaji akan dibayar sebelum Aidilfitri.
Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini tiada pemakluman rasmi melalui surat atau tarikh sebenar bila pembayaran itu akan dibuat.
“Dalam keadaan kita sedang berpuasa dan hampir menyambut Aidilfitri ditambah dengan anak-anak baru masuk sekolah. Sudah tentu kami amat memerlukan wang untuk kelangsungan hidup,” katanya. – UTUSAN







