KUALA TERENGGANU: Seramai 23,767 murid Tahun Satu memulakan sesi baharu persekolahan 2024/2025 di 352 buah sekolah rendah seluruh Terengganu hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, selain itu, seramai 21,756 pelajar Tingkatan Satu pula mendaftar masuk di 154 sekolah menengah di seluruh negeri.
Menurutnya, hari pertama sesi persekolahan di seluruh Terengganu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah, sesi pendaftaran murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu telah berlangsung beberapa hari sebelum ini, jadi proses persekolahan hari pertama pagi ini berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serada di sini, hari ini.
Keseluruhannya, seramai 134,380 murid sekolah rendah memulakan persekolahan mereka hari ini iaitu 22,615 murid Tahun Dua; Tahun Tiga (22,757), Tahun Empat (21,912), Tahun Lima (21,730)dan 21,599 murid Tahun Enam.
Di sekolah menengah pula, seramai 100,409 pelajar memulakan persekolahan hari pertama mereka iaitu 21,303 pelajar Tingkatan Dua, Tingkatan Tiga (20,612),
Tingkatan Empat (19,325) dan Tingkatan Lima (17,413).
Tinjauan Utusan Malaysia Kosmo! di beberapa sekolah mendapati kebanyakan murid Tahun Satu begitu bersemangat memulakan sesi persekolahan ditemani ibu bapa masing-masing.
Sementara itu, tinjauan di SM Serada, Kuala Terengganu mendapati murid ceria dapat bersekolah di sekolah yang baharu siap dibina pada sesi persekolahan hari ini. – UTUSAN










