PETALING JAYA: Jumlah kemalangan jalan raya mencatat penurunan dengan 1,539 kes direkodkan di seluruh negara, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kes kemalangan menurun sebanyak 339 kes berbanding 1,878 kes yang dicatatkan pada Jumaat lalu.
“Jumlah kematian juga turut mencatatkan penurunan kepada 13 kes, berbanding 16 yang direkodkan pada hari sama.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan memandu secara berhemah dan sentiasa mengikuti peraturan yang ditetapkan serta memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerjasama daripada orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran terhadap kepentingan menjaga keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.
Sebelum ini, media melaporkan JSPT Bukit Aman menyiarkan maklumat statistik jumlah kes kemalangan jalan raya dan kematian secara harian sepertimana hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai kesesakan dan keselamatan jalan raya.
Mohd. Azman dilaporkan berkata, statistik kemalangan jalan raya tentang kes kemalangan dan kematian seluruh Malaysia itu dikeluarkan secara masa nyata dengan mengambil data kemalangan yang berlaku pada hari sebelumnya.
Penyiaran berbentuk info grafik akan dimuat naik menerusi laman sosial rasmi JSPT seperti Facebook, Instagram dan aplikasi X bermula Jumaat lalu.- UTUSAN










