10 hari siapkan 'jubah' Nabi Adam - Utusan Malaysia

10 hari siapkan ‘jubah’ Nabi Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NABI Adam AS merupakan manusia pertama yang dijadikan oleh Allah SWT di muka bumi. Ketinggian baginda sehingga disebut dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, iaitu setinggi 60 hasta bersamaan 29 meter. 

Sebagai simbolik menunjukkan ketinggian Nabi Adam, pihak Yayasan Restu mengambil inisiatif menghasilkan jubah berwarna putih setinggi bangunan empat tingkat.

Jubah gergasi itu digantung di dinding luar Kompleks Percetakan al-Quran, Nasyrul Quran di Putrajaya, sempena Festival Kesenian Al-Quran Restu Global, baru-baru ini.   

Pengurus Besar Yayasan Restu, Muhammad Fadli Ismail berkata, jubah yang berjaya disiapkan dalam tempoh 10 hari itu sebenarnya mempunyai saiz yang lebih tinggi daripada yang digantung di lokasi berkenaan. 

“Ia dihasilkan oleh dua tukang jahit dengan menggunakan 2,000 meter benang di sebuah dewan di Kuang, Selangor. 

“Jubah yang menggunakan 480 meter kain itu bukan bermaksud ia adalah saiz sebenar Nabi Adam, tetapi ia bertujuan sebagai simbolik menunjukkan ketinggian baginda. 

“Kita hendak memberi gambaran asal mengenai kejadian Nabi Adam kepada pengunjung.   

“Kalau zaman sekarang saiz manusia semakin mengecil ibarat setinggi saiz betis baginda sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Festival yang berlangsung selama seminggu itu turut menampilkan pelbagai pameran berteraskan gaya hidup Islami. 

Antaranya, pameran artifak Nabi Muhammad SAW seperti helaian rambut baginda, pameran seni hiasan dalaman Islamik serta daurah menyalin al-Quran.   

Festival yang dianjurkan buat kali kedua ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk melawati lantai kilang serta melihat proses percertakan al-Quran secara lebih dekat.  

Berkongsi lanjut, Muhammad Fadli berkata, replika jubah itu pernah ditayangkan semasa Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) di Putrajaya, pada 2016. 

Pada 2013, replika itu pernah dipasang sempena Festival Warisan Rasul dan Anbiya di Kompleks Seni Islam Antarabangsa, Shah Alam. 

Sejurus pameran itu berakhir, kongsinya, jubah berkenaan akan disimpan rapi di kompleks berkenaan.   

MENGENAI YAYASAN RESTU 

Yayasan Restu merupakan Pusat Kesenian Islam bermula dengan projek penyalinan mushaf al-Quran pertama Malaysia dan perkembangan seni Islam supaya ia terpelihara dan tidak pupus. 

Ditubuhkan pada 1987, beliau berkata, Yayasan Restu berkembang pesat dengan produk-produk yang mempunyai ciri unik dan tersendiri sepanjang 37 tahun ditubuhkan. 

“Yayasan ini terkenal dengan penghasilan mushaf al-Quran dan penerbitan berkaitan al-Quran dengan reka bentuk eksklusif. 

“Ia juga dikenali sebagai pusat seni warisan Islam, seni kaligrafi, reka bentuk motif budaya kebangsaan serta pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk al-Quran dan al-Hadis,” katanya mengenai yayasan yang bertapak di Shah Alam. 

Menurut beliau, yayasan itu mempunyai lebih 11 jabatan yang masing-masing menghasilkan produk yang menggabungkan unsur-unsur kesenian Islam.

Ia juga berfungsi menjadi pusat rujukan untuk manuskrip, warna dan reka bentuk Islam serta pusat cenderahati dan kraf Islam. 

“Yayasan juga membawa gaya yang unik dalam memelihara seni mushaf dengan menghasilkan pelbagai jenis mushaf tulisan tangan yang dihias penuh dan disertai terjemahan dalam pelbagai bahasa. 

“Antara produk Yayasan Restu ialah karya kaligrafi, hiasan berwarna pada helaian dan manuskrip, jubin, hiasan dalaman, bahan pengiklanan, faksimili mushaf lama dan perisian Islam,” katanya.  

UKURAN JUBAH

*Tinggi/labuh : 29 meter 

*Lebar bahu : 9 meter 

*Lebar bahagian bawah : 9 meter 

*Garis pusat leher : 3 meter 

*Panjang tangan : 12 meter 

*Penggunaan kain : 480 meter 

*Penggunaan benang : 2,000 meter 

*Tenaga kerja: dua tukang jahit  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN