Zaman berubah, kita sudah tiada trend muzik tertentu - Aizat Amdan - Utusan Malaysia

Zaman berubah, kita sudah tiada trend muzik tertentu – Aizat Amdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan album Percubaan Pertama pada tahun 2008, penyanyi, Aizat Amdan, mula mencuri tumpuan dengan kejayaan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita yang menjadi siulan ramai ketika itu.

Aizat atau Muhammad Aizat bin Amdan, 35, menggenggam trofi berprestij pertamanya dalam industri seni hasil daripada dua lagu tersebut antaranya Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 dan Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) pada tahun 2009.

Tidak berhenti di situ, anak kelahiran Kuala Lumpur ini meneruskan kejayaan dengan lagu Sungai Lui dan Susun Silang Kata menerusi album Urusan Aizat Amdan pada tahun 2010 sebelum Sampai Ke Hari Tua pada tahun 2018.

Dengan katalog lagu yang rencam, Aizat sekali gus menjadi antara penyanyi dan komposer yang menonjol untuk generasinya.

Namun begitu, beberapa tahun belakangan ini, Aizat Amdan mula bereksperimen dengan alur muzik berbeza menerusi lagu Aku Tak Perlu. Bagaimanapun, kematangan muzik Aizat tidak seiiringan dengan indera kebiasaan peminatnya membuatkan lagu-lagunya tidak hit seperti dulu.

“Bercakap tentang lagu malar segar, saya berpendapat ia lahir dalam era dan trend muzik tertentu. Contohnya susunan lagu Hanya Kau Yang Mampu, ia dihasilkan ketika muzik Indonesia sedang menjadi fenomena sehingga ada yang beranggapan saya adalah penyanyi baharu dari seberang.

“Namun, dengan peredaran zaman hari ini, semuanya sudah berbeza. Bagi saya, zaman kini sudah tiada lagi trend tertentu. Semua muzik sama naik dan memiliki pendengarnya masing-masing.

“Semuanya sudah semakin laju. Kalau dulu kita harus tunggu di radio untuk dengar lagu kesukaan, kini semuanya ada di Spotify. Sekarang semua pendengar boleh ada pilihan mendengar muzik mereka mahukan. Bagaimana mahu mengukur ‘trend’?

“Cabarannya ialah bagaimana kita nak mencari keseimbangan membandingkan benda laju tidak semestinya berkualiti. Kita juga harus bijak melakukan promosi yang sesuai dengan keadaan semasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut peserta pertandingan Akademi Fantasi musim kelima itu lagi, dia tidak pernah berniat untuk menghasilkan sesuatu karya kerana trend.

Oleh itu, dia tidak pernah tertekan atau meletakkan apa-apa jangkaan menghasilkan lagu ‘hit’ sebagai tujuannya untuk berkarya.

“Bercakap tentang trend, apa sebenarnya yang membuatkan lagu itu kayak dipanggil trend semasa? Berapa jumlah pendengar yang perlu ada untuk menjadikan sesuatu lagu itu trend?

“Kita tak tahu kerana ini semua digital. Kalau tular di internet sekalipun, mak cik jual nasi lemak tak tahu. Jadi adakah ia layak dipanggil trend?

“Ketika memasuki bidang ini sejak dahulu, saya tidak pernah terfikir untuk kejar jadi nombor satu. Setiap karya yang saya hasilkan adalah jujur dan tidak pernah mahu mengejar trend.

“Sehingga hari ini, orang mungkin kutuk fizikal, tapi belum ada yang mengatakan muzik saya tidak signifikan,” tambahnya.

Dalam perkembangan terkini, Aizat bakal tampil dengan konsert bersama Fabio Asher di JioSpace, Petaling Jaya, 24 Februari ini.

Fabio dan Aizat bakal menyanyikan lagu-lagu hit mereka dalam konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN