BALIK PULAU : Seorang lelaki warga Perancis ditemui selamat selepas tersesat ketika menjalankan aktiviti pendakian seorang diri di Taman Negara Pulau Pinang, di sini semalam.
Mangsa, Younes Oukali, 37, ditemui selamat, namun, berada dalam keadaan keletihan selepas tersesat lebih lapan jam di dalam kawasan hutan itu.
Difahamkan, mangsa masuk ke Taman Negara menggunakan jalan dari Pantai Acheh, Balik Pulau petang semalam sebelum tersesat sehingga ke kawasan Batu Hitam yang jaraknya kira-kira empat jam perjalanan dari Teluk Kampi.
Bagaimanapun, mangsa dilaporkan gagal mencari jalan keluar ketika itu akibat hujan lebat.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.07 petang semalam.
“Untuk pengetahuan, mangsa ketika itu masih boleh dihubungi melalui talian telefon.
“Sehubungan itu, pasukan bomba terus bertindak menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa dengan melakukan pendakian serta bantuan bot oleh pihak Taman Negara Pulau Pinang untuk ke Teluk Kampi,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, mangsa akhirnya dijumpai dalam keadaan selamat kira-kira pukul 1.22 pagi tadi oleh pasukan bomba dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi berkenaan kemudian tamat sepenuhnya tamat pada pukul 4.58 pagi,” katanya.-UTUSAN.










