Warga asing bertempiaran lari, berlawan elak dicekup

Warga asing bertempiaran lari, berlawan elak dicekup

MOHAMAD Hatta Che Din (berdiri dua dari kiri) memeriksa warga asing dalam operasi bersepadu yang diadakan di pusat bandar Seremban, Negeri Sembilan.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Operasi bersepadu besar-besaran termasuk penglibatan lebih 300 anggota polis petang kelmarin mengejutkan warga asing yang menjadikan beberapa kawasan di pusat bandar ini sebagai lokasi perkumpulan mereka pada setiap hujung minggu.

Antara lokasi ‘lubuk’ warga asing itu ialah Jalan Dato’ Sheikh Ahmad dan Jalan Dato’ Bandar Tunggal, di sini.

Terkejut dengan operasi yang turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) itu, ada warga asing cuba meloloskan diri, malah tidak kurang yang melawan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam operasi yang diketuai pihaknya, lebih 900 warga asing dari pelbagai negara diperiksa.

Menurutnya, operasi diadakan selepas melihat keresahan masyarakat mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu selama ini dan sebagai pencegahan jenayah kerana ada dalam kalangan mereka terlibat dengan jenayah termasuk pelacuran dan maksiat.

“Operasi dilaksanakan sekitar radius dua kilometer di pusat bandar Seremban termasuk dua lorong bangunan dan beberapa jalan sekitar. Memang kawasan ini menjadi tumpuan warga asing terutama pada Sabtu dan Ahad dan hari cuti, memang mereka berkumpul di sini.

“Selain warga asing yang ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen, terdapat lima lelaki warga asing ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, daripada 961 orang rakyat asing dari pelbagai warganegara diperiksa, 56 daripadanya merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Menurut beliau, daripada yang ditahan itu, masing-masing 20 dari Bangladesh, Myanmar (21), Pakistan (empat), Nepal (sembilan), India (dua), dan masing-masing satu dari China dan Uganda.

“Kesemua yang ditahan berumur di antara 16 hingga 48 tahun dan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Majoriti warga asing yang diperiksa mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya membuat sitaan terhadap tujuh premis di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred perniagaan.

“Sitaan dibuat kerana tiada warganegara di premis perniagaan tersebut. Kami turut mengeluarkan 13 kompaun kerana premis melanggar syarat lesen kerana jumlah warga asing didapati melebihi warga tempatan. Kebanyakan premis ini adalah restoran dan kedai runcit,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×