Wang Kelian tidak lagi diceroboh PATI

Wang Kelian tidak lagi diceroboh PATI

MUHAMMAD Abdul Halim bersama anggota PGA, VAT69 dan kontinjen polis serta wartawan meninjau semula antara lokasi penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat selepas sembilan tahun kes yang menjadi isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara berlaku di Wang Kelian, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tahun ini, genap sembilan tahun kes penemuan penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sini, yang pernah menjadi isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Dalam kes pemerdagangan manusia pada 2015 yang menjadi sejarah hitam itu, lebih 100 rangka manusia ditemukan di kawasan kubur berkenaan dipercayai daripada etnik Rohingya.

Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu sehingga akhirnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung kes tersebut dan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi.

GAMBAR fail memaparkan lokasi kem dipercayai penempatan PATI yang ditemukan pihak berkuasa di Bukit Wang Burma, Padang Besar pada 2015.

Selepas hampir sembilan tahun berlalu, wartawan dan jurugambar berpeluang menjejak semula ke lokasi kubur tersebut semalam yang memakan masa lebih dua jam perjalanan pergi dan balik menempuh hutan tebal serta mendaki laluan berbukit.

Perjalanan ke lokasi tersebut yang bermula pukul 9 pagi diketuai Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim bersama anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA), anggota dari Pasukan 69 Komando (VAT 69), Ulu Kinta serta kontinjen polis negeri. Turut bersama Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin.

Menjejak kaki semula ke lokasi berkenaan agak menarik bagi wartawan untuk pertama kali selepas tempoh tersebut melihat sendiri keadaan semasa di kawasan itu selain pasukan polis meninjau keadaan daripada aspek keselamatan sama ada masih menjadi laluan aktiviti penyeludupan atau jenayah lain.

Perjalanan bermula dari bawah menuju ke tapak base camp pertama mengambil masa kira-kira 45 minit di mana laluannya agak mencabar dan berbukit yang agak curam sekali gus memerlukan wartawan terpaksa berhati-hati. Difahamkan, jarak tapak base camp itu ke sempadan negara jiran hanya sekitar 324 meter.

Dari base camp berkenaan, pendakian menuju ke lokasi penempatan sementara dan kubur tersebut pula mengambil masa 10 hingga 15 minit.

KEADAAN lubang kesan peninggalan yang dipercayai dijadikan tempat pembuangan sampah dan najis di lokasi penempatan sementara dan kubur besar di atas bukit di Wang Kelian.

Hasil pemerhatian di lokasi penempatan sementara dan kubur berkenaan mendapati, hanya kelihatan pagar kawat berduri dibina di tapak itu yang telah dirobohkan dengan beberapa kesan peninggalan lain seperti lubang dalam yang dikorek oleh penjenayah terlibat.

Malah, kesan tapak kubur besar yang ditemukan pada 2015 itu juga dimusnahkan dan kini hanya hutan tebal.

Kebanyakan tapak kem penempatan sementara pelarian di kawasan berkenaan sebelum ini dibina berhampiran sumber air bagi memudahkan penjenayah terlibat mendapatkan bekalan.

Berdasarkan maklumat, perjalanan menuju ke lokasi tersebut melalui laluan di Thailand adalah lebih mudah berikutan laluannya landai berbanding di laluan Wang Kelian di sini yang muka buminya agak curam dan berbatu.

Hasil pemantauan dan tinjauan tersebut, Muhammad memaklumkan bahawa tiada lagi sebarang aktiviti jenayah di kawasan itu malah tapak berkenaan juga adalah kes penemuan terakhir pada tahun 2015.

Ujarnya, tinjauan tersebut juga hanyalah sekadar pemantauan yang dilaksanakan bagi melihat semula situasi semasa lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang anggota VAT 69, Koperal Mohd. Faizul Zainol,37, yang pernah berada di lokasi kejadian pada 2015 berkata, kem penempatan sementara pada masa itu lengkap dengan segala kemudahan.

Katanya, semasa berada di lokasi kejadian bagi mengiringi pasukan forensik, dia dan anggota lain membawa turun tulang serta cebisan mayat yang masih ada pada masa tersebut.

Ujarnya, kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada masa itu boleh dikatakan antara terbesar dalam sejarah negara ini.

“Kubur pada masa itu, juga ada di bawah tempat tahanan. Selepas sembilan tahun, kita mengunjungi semula lokasi berkenaan mendapati keadaan sudah berubah yang tinggal hanya tinggalan seperti lubang dan sebagainya,” katanya.

PENDUDUK IMBAU KISAH HITAM

Biarpun sudah sembilan tahun berlalu, kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma masih berbekas dalam ingatan sebahagian besar penduduk setempat.

ZUNAIDI ABU BAKAR

Mengimbau kembali kejadian berkenaan, Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Wang Kelian, Zunaidi Abu Bakar, 49, berkata, pada masa itu, mereka menyaksikan ada dalam kalangan pelarian menuruni bukit di sekitar kawasan hutan simpan negeri itu secara berkumpulan dengan keadaan tidak terurus.

Katanya, ketika itu, penduduk menemui pelarian tersebut dalam beberapa kumpulan yang di antaranya kelompok kecil terdiri daripada lima orang dan kumpulan besar sekitar 60 orang.

“Keadaan mereka (pelarian) ketika itu memang tidak terurus malah turut kelihatan seperti lapar dan haus. Penduduk kemudian membantu dengan memberikan minuman dan makanan buat pelarian berkenaan yang dilihat berada dalam keadaan menyedihkan.

“Terdapat juga pelarian yang ditemukan dengan kesan lecur dan mengalami beberapa kecederaan lain pada anggota badan. Penduduk pada masa itu membuat laporan polis dan pasukan keselamatan tiba bagi melakukan siasatan serta pemeriksaan terperinci di kawasan berkenaan.

“Susulan itu juga, anggota keselamatan menemukan tapak kem tahanan sementara dan kubur berkenaan,” katanya.

SUASANA di kawasan Kampung Wang Kelian tidak lagi semeriah seperti dahulu selepas penutupan zon aliran bebas oleh kerajaan susulan kes penemuan kubur besar pada 2015. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Sementara itu, Zunaidi berkata, selepas kejadian ‘hitam’ tersebut, suasana di Wang Kelian telah berubah malah kawasan tersebut juga tidak lagi rancak dengan kehadiran pelancong seperti sebelum ini.

Katanya, keadaan keselamatan di kawasan ini juga sememangnya meyakinkan dan tidak lagi menjadi tumpuan penjenayah malah pihak berkuasa juga giat melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

“Selepas zon aliran bebas ditutup berikutan kejadian itu, Wang Kelian memang masih menjadi tumpuan pelancong namun keadaannya tidak sama seperti sebelum ini.

“Sebelum ini, setiap kali cuti hujung minggu semestinya berpuluh bas pelancong akan masuk ke sini sekali gus memberi limpahan ekonomi buat penduduk setempat,” katanya.

Usaha bagi menghidupkan semula kawasan Wang Kelian akan hanya dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya zon aliran bebas itu beroperasi semula.
“Keadaan di kawasan ini telah selamat dan wajarlah kalau ia beroperasi semula. Malah jika bimbangkan aspek keselamatan, mungkin kerajaan boleh pertimbang untuk tambah anggota di kawasan ini,” katanya.

WANG KELIAN SUDAH BERUBAH, HARAP ALIRAN BEBAS KEMBALI DIBUKA

Majoriti penduduk di Kampung Wang Kelian mengharapkan kerajaan dapat mempertimbang pembukaan semula zon aliran bebas bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.

Cadangan pembukaan semula itu adalah susulan situasi semasa di lokasi penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Bukit Wang Burma yang kini berada dalam keadaan selamat serta sentiasa mendapat pemantauan pihak berkuasa.

Seorang bekas peniaga di zon aliran bebas, Che Ani Che Ismail, 67, berkata, sebelum ini, pihaknya mampu meraih pendapatan ribuan ringgit pada setiap kali cuti hujung minggu susulan kehadiran pelancong yang menggalakkan.

“Selepas zon aliran bebas ini ditutup, saya hanya boleh mengusahakan kebun getah dan bergantung pendapatan daripada hasil yang tidak menentu.

“Sebenarnya cadangan bagi pembukaan semula zon aliran bebas ini sememangnya sangat disokong oleh kira-kira 300 orang penduduk di Wang Kelian ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha kedai makan di Kampung Wang Kelian, di sini, Nasaruddin Mat Ali, 51, berkata, suasana di kawasan itu sememangnya tidak semeriah dahulu khususnya selepas penemuan kubur dan kem penempatan sementara tersebut.

Katanya, sebelum ini, dianggarkan kira-kira lebih 40 buah bas membawa pelancong ke Wang Kelian pada setiap kali cuti hujung minggu bagi mengunjungi zon aliran bebas berkenaan.

“Namun keadaan itu telah berubah selepas penutupan berkenaan dan kebanyakan pelancong kini hanya memilih berkunjung ke View Point Wang Kelian sahaja,” katanya.

BUKA ALIRAN BEBAS DEMI MANFAAT PELANCONG, PENIAGA MALAYSIA-THAILAND

Pelancong dan peniaga Thailand sememangnya sangat mengharapkan zon aliran bebas Wang Kelian dapat beroperasi semula demi manfaat rakyat di kedua-dua buah negara.

Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara (TAHTA), Aida Oujeh berkata, sebelum ini, pelancong dari negara Gajah Putih itu terutama sekitar kawasan Wilayah Selatan Thailand sememangnya tertarik untuk berkunjung ke zon aliran bebas Wang Kelian yang memasarkan pelbagai produk pilihan mereka.

Katanya, antara produk yang sering menjadi pilihan rakyat Thailand sewaktu zon aliran bebas berkenaan beroperasi adalah seperti barangan runcit, perkakas elektronik, makanan, serbuk kari dan pelbagai lagi.

“Sebelum ini, penduduk Thailand dari Songkhla, Narathiwat, Yala, Patani, Satun, dan beberapa lagi sememangnya amat gemar berkunjung ke zon aliran bebas yang menghubungkan Wang Prachan, Thailand dan Wang Kelian, Malaysia.

“Walaupun sudah beberapa tahun ditutup, mereka masih menantikan pembukaan semula lokasi itu, malah ramai pihak juga sering bertanyakan kepada kami tentang status zon aliran bebas itu,” katanya.

Katanya, pembukaan semula operasi zon aliran bebas itu dapat merancakkan semula ekonomi kedua-dua negara sekali gus memberi limpahan ekonomi buat banyak pihak.

“Langkah ini juga selaras dengan pertemuan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang menyatakan komitmen bagi menukar kawasan zon konflik Selatan Thailand kepada lokasi perdagangan,” katanya.

KRONOLOGI KEJADIAN

* Penemuan penempatan sementara dan kubur besar menempatkan 139 mayat ditemukan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis pada 2015.

* Turut ditemukan 100 rangka manusia di kawasan kubur itu dipercayai etnik Rohingya.

* Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kes itu dengan mendengar keterangan daripada 48 saksi pada 2019.

* Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2020 memaklumkan laporan itu siap sepenuhnya dan dibentangkan kepada Kabinet.

* Utusan Malaysia menerusi laporan muka depan pada 3 Ogos 2022 mempersoal Laporan RCI tersebut yang tidak pernah didedahkan.

* Susulan laporan berkenaan, pada Oktober 2022 Laporan RCI setebal 184 muka surat tersebut didedahkan kepada umum menerusi laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN).

* Dalam laporan tersebut, ia memperincikan kronologi penemuan kem, siasatan, kawalan sempadan dan tindak balas pelbagai agensi penguatkuasaan terhadap penemuan kubur besar serta kem transit tersebut. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×