Utusan-Kosmo! raih tiga Anugerah Media Perak

Utusan-Kosmo! raih tiga Anugerah Media Perak

LUQMAN Ridhwan Mohamed Nor (tengah), Asliza Musa (kanan) dan Sayed Hesham Idris memenangi kategori berasingan dalam Majlis Anugerah Media Perak di Ipoh, Perak.. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! memenangi tiga kategori dalam Majlis Anugerah Media Perak di Bangunan SUK Perak di sini semalam.

Pada majlis tersebut, wakil negeri Kosmo! Perak, Luqman Ridhwan Mohamed Nor menang tempat pertama bagi kategori Anugerah Rencana Terbaik menerusi rencana yang bertajuk Kualiti Kekal Tak Mudah Hancur.

Wartawan sambilan Utusan Malaysia, Asliza Musa memenangi tempat kedua bagi Anugerah Berita Ekonomi Terbaik menerusi laporan berita ekonomi bertajuk Fiztox Bantu Jana Pendapatan Suri Rumah, Pelajar.

Wakil negeri Utusan Malaysia Perak, Sayed Hesham Idris memenangi tempat ketiga bagi Anugerah Berita Sukan Terbaik menerusi laporan berita sukan bertajuk Ijad Kaki Besi Sedia Bersaing Bagi Wakili Negara.

Anugerah Media Perak yang julung kali diadakan adalah anjuran Pejabat Menteri Besar Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Menteri Besar Incorporated (MB Inc) serta mendapat lebih 90 penyertaan daripada semua agensi media di negeri ini.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Berita Terbaik, Rencana Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Sukan Terbaik, Anugerah Audio Visual Terbaik dan Foto Terbaik.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Zaki Mahyudin dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan berkata, sepanjang lebih dua dekad dalam politik, beliau sentiasa mendapat dukungan yang baik dari rakan-rakan media.

Katanya, laporan-laporan media menjadi pedoman bagi beliau menjadi seorang pemimpin yang lebih baik.

“Saya sentiasa menghormati dan menghargai peranan penting media sebagai perantara antara kerajaan dan rakyat. Dalam banyak keadaan, media menjadi medium terbaik dalam menerima maklum balas rakyat.

“Ini membantu kerajaan negeri dalam menilai dan meningkatkan pelaksanaan dasar dan program yang dirancang,” katanya.

Majlis turut meraikan rakan media yang sudah bersara iaitu bekas jurugambar Utusan Malaysia, Zulkarnain Mohd Saidin, Lam Koon Yeu (jurukamera TV3) dan P. Chandra Sagaran (wartawan The Sun) mengambil kira sumbangan bakti sebagai pengamal media sejak berpuluh tahun di Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN