KUALA LUMPUR: UMNO akan terus berusaha memastikan keadilan dan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak diteruskan seperti keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 sebelum ini.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam kenyataan semalam berkata, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
“UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara.
“UMNO juga berpegang kepada keputusan PAU2023 yang mahukan usaha pembelaan Najib diteruskan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Khas MT yang berlangsung hampir empat jam di Menara Dato’ Onn.
Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan
Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.
Dalam pada itu, kata beliau, walaupun UMNO akan meneruskan usaha pembelaan ke atas Najib, namun parti itu menghormati keputusan dan hak mutlak yang diperkenan Al-Sultan Abdullah dalam membuat keputusan itu.
“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.
“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sama-sama menjunjung semangat ini,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, UMNO akan mengutip tanda tangan seluruh ahlinya untuk mendesak pembebasan penuh bekas Presiden parti tersebut.
Kata beliau, satu petisyen akan dibuat bagi tujuan itu. – UTUSAN










