UDA serah sumbangan zakat RM13,000 buat masjid dan asnaf - Utusan Malaysia

UDA serah sumbangan zakat RM13,000 buat masjid dan asnaf

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyantuni Minah Md Aris, 86, (duduk) sewaktu Program Kayuhan UDA Cares Bersama Raja Muda Perlis di Kampung Nelayan Warna Warni Sebarang Ramai, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Syarikat pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA) menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM13,000 buat Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan tiga buah keluarga asnaf di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, di sini hari ini.

Selain itu, seramai 140 asnaf daripada kampung tersebut turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700 setiap seorang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan sumbangan tersebut adalah merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA dengan kerjasama MAIPs.

Selain itu, penyerahan sumbangan yang disampaikan menerusi Program Kayuhan UDA Cares Bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu juga merupakan sebahagian daripada pengisian Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI yang berlangsung selama tiga hari di Tapak Pasar Tani Kekal, Simpang Empat, di sini.

Menerusi majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan menyerahkan sumbangan tersebut dengan disaksikan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut sama sewaktu penyerahan sumbangan itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany.

Dalam pada itu, Mohd. Salem berkata, program yang julung kali diadakan tersebut merupakan langkah proaktif UDA bersama-sama MAIPs dalam menyantuni komuniti setempat selain mempromosikan gaya hidup sihat.

“Semoga sumbangan zakat daripada UDA dan MAIPs yang diagihkan kepada penduduk di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.

Menerusi program kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan singgah di tiga buah rumah asnaf dalam kampung berkenaan di mana setiap keluarga menerima sumbangan wang tunai RM1,000 daripada UDA dan RM700 daripada MAIPs berserta barangan keperluan.

Di samping itu, baginda turut berkenan merasmikan Lorong UDA di kampung itu di mana syarikat tersebut akan menyalurkan bantuan bertujuan menambah baik dan mencantikkan kawasan terlibat.

Pada majlis sama, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang merupakan agensi di bawah KUSKOP turut menyerahkan sijil pendaftaran koperasi kepada Koperasi Kariah Masjid Abu Bakar As Siddiq Seberang Ramai Kuala Perlis Berhad.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya