ALOR SETAR: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua perlu meninggalkan cara politik lama DAP yang berterusan menyukarkan kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan biadap dan kurang ajar daripada seseorang pemimpin parti komponen dalam kerajaan tidak munasabah dan tidak boleh diterima.
Menurutnya, kenyataan sinis itu sememangnya menunjukkan Tony tidak memahami Perlembagaan atau beliau seorang yang tidak berperlembagaan langsung.
“Seperti biasa, ada sahaja ahli politik yang sudah nak sampai tarikh luput cuba untuk jadi relevan semula dengan buat kenyataan murahan demi menarik publisiti murahan.
“Sebagai seorang yang sudah ‘seasoned’ dengan politik Malaysia, sepatutnya dia tak perlu buat-buat bodoh dan tidak faham dengan konsep pengampunan diraja yang mana merupakan kuasa raja-raja.
“Yang sudah pasti, dia sudah derhaka kepada institusi beraja kerana berani mempersoalkan dan memperlekehkan keputusan Yang di-Pertuan Agong. Sudah-sudah lah cuba cetuskan bibit-bibit kebencian terhadap sistem beraja. Cara ekstremis begitu sudah tidak diterima oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Tony melalui akaun Facebook beliau dengan nada sinis menyindir keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Perdana Menteri keenam itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 yang merupakan enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya, selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Justeru, demi kemaslahatan kerajaan Perpaduan dan kerjasama yang baik antara UMNO dan DAP, Shaiful Hazizy menggesa DAP bertindak tegas terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara itu kerana jika dibiarkan akan menyukarkan kerjasama terjalin.
“Tony juga perlu sedar diri yang dia sudah tidak ada tempat dalam arena politik negara. Hatta dalam pemilihan parti sendiri pun, Tony kalah dalam semua jawatan yang dipertandingkan.
“Mesej khas untuk Tony, sudah-sudah lah jadi gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut kepada kerajaan Perpaduan. Kalau tidak setuju dengan gabungan ini, jadi anak jantan dan keluar sahaja dari parti,” katanya. -UTUSAN










