KUALA LUMPUR: “Akhirnya, Kak Lina kembali menggunakan suara asal beliau macam album pertama dulu. Tiada lagi bunyi ‘klon’ Siti (Nurhaliza).”
Itu pandangan dikongsi peminat mengenai single terbaru Elly Mazlein berjudul Sayap yang dilancarkan baru-baru ini.
Kemunculan lagu tersebut sedikit sebanyak mengubat rindu peminat terhadap nyanyian Elly yang kali terakhir merakamkan muncul dengan album sekitar 20 tahun lalu.
Pelbagai reaksi diberikan kepada lagu berkenaan. Rata-ratanya menyambut baik lagu ciptaan Naim Daniel, Omar K dan Iqie Hugh itu.
Malah ada dalam kalangan peminat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga yang menyokong kelahiran single terbaru tersebut.
“Sedap suara Kak Kepom. Sitizoners selalu menyokong Elly Mazlein kita. Nombor satu lah dik,” tulis peminat.
Dalam pada itu, Elly mencatat sejarah apabila video muzik lagu tersebut diiktiraf sebagai yang paling lama dilancarkan di negara ini.
Pencapaian tersebut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) selepas video muzik Sayap dilancarkan selama 48 jam bermula 12 tengah malam pada 25 Januari lepas.
Kejayaan tersebut menjadikan Elly sebagai artis Rocketfuel Entertainment pertama yang menerima pengiktirafan MBOR.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan turut bersyukur dan berbangga kerana dengan anugerah ini memberikan saya semangat dalam menjayakan kelahiran Sayap sebagai buah tangan terbaru di permulaan tahun 2024 ini,” katanya.










